- Iklan -
Berita

Pemecatan orang kuat Najib petanda retak dalam Umno, kata penganalisis

Mereka berkata Barisan Nasional sedang berusaha untuk mengubah imej Umno bagi menawan hati pengundi di Selangor menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan bekas pengerusi Barisan Nasional Najib Razak dalam acara ulang tahun ke-48 gabungan itu baru-baru ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan bekas pengerusi Barisan Nasional Najib Razak dalam acara ulang tahun ke-48 gabungan itu baru-baru ini. Gambar: Bernama

Tindakan Barisan Nasional (BN) Selangor memecat Isham Jalil selaku ketua penerangannya boleh dilihat sebagai petanda berlakunya keretakan dalam Umno ketika ketika cakap-cakap mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin hampir semakin banyak kedengaran.

Hisommudin Bakar dari Ilham Centre berkata, ini kerana Isham yang juga bekas pegawai khas kepada Najib Razak semasa pentadbiran BN terdahulu, merupakan sebahagian daripada pasukan yang setia kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Dengan pengguguran ini bermakna Isham Jalil terpaksa mencari jalan lain untuk bertanding di Selangor,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Pengumuman ini sebenarnya tidak mengejutkan kerana dalam aspek kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau seharusnya selari dengan kehendak ketua beliau di Selangor.

“Ternyata kesannya, dengan pemecatan ini sedikit sebanyak mencalarkan sedikit reputasi beliau di Selangor.”

Terdahulu, BN Selangor menerusi setiausahanya Mohamad Satim Diman memaklumkan kepada Isham mengenai penamatan jawatan ketua penerangan gabungan itu di Selangor dalam satu surat yang tular di media sosial.

Menurut surat tersebut, keputusan itu dibuat selepas merujuk kepada Perlembagaan BN yang tidak memperuntukkan jawatan tersebut.

Semasa PRU14, nama beliau antara disebut menjadi calon menteri besar Selangor bagi BN.

Isham turut dikhabarkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras bagaimanapun tidak menjadi kenyataan.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Kartini Aboo Talib turut bersetuju dengan pandangan itu.

Katanya, pasukan yang pro-Najib bakal bertembung dengan pasukan yang mahukan perubahan dan menolak kluster mahkamah.

“Walaupun ramai yang mahu menjadi hakim di luar mahkamah akan kes rayuan Najib, tapi jelas penolakan Isham Jalil oleh BN Selangor mahukan perubahan tuntas dari segi imej dan integriti Umno.

“Saya berpandangan bahawa untuk BN bergerak ke hadapan, mengenengahkan pemimpin muda dan berkaliber adalah lebih baik dan menguntungkan BN dalam jangka panjang,” katanya.

Sebelum ini, rata-rata penganalisis menyatakan Umno kini terbahagi kepada dua kem, iaitu kluster mahkamah dan kluster Putrajaya.

Kluster mahkamah merujuk kepada sekumpulan pemimpin Umno diketuai Najib dan Zahid yang mempunyai pelbagai dakwaan rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah.

Sementara kluster Putrajaya merujuk kepada menteri-menteri Kabinet dan pemimpin Umno yang berpaksikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Sebelum ini kluster mahkamah sudah melakukan pelbagai cara untuk mendesak Ismail membubarkan Parlimen termasuk meminda perlembagaan Umno untuk menangguhkan pemilihan parti.

Menurut Kartini, pemecatan itu merupakan sebahagian strategi bersasar untuk menawan Selangor yang dikuasai oleh golongan bandar, iaitu golongan kelas elit dan menengah yang mempunyai pandangan politik yang berbeza.

Selangor tewas kepada pembangkang buat pertama kali dalam PRU pada 2008.

Pakatan Rakyat ketika itu mencatat sejarah menewaskan BN dan sehingga kini masih mengekalkan kuasa di negeri terkaya Malaysia itu di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH).

Oh Ei Sun, felo kanan Singapore Institute of International Affairs pula berpendapat bahawa pelbagai faksi dalam Umno sedang membuat “house cleaning” ketika perebutan kuasa dalaman parti Melayu terbesar itu mengambil tempat.

Ia kemungkinan antara tindakan “purge” yang pertama antara banyak lagi tindakan oleh mana-mana puak.

Apa-apa pun, ia menunjukkan bahawa puak arus perdana, yang diketuai oleh Zahid dan Najib, tidak mempunyai penguasaan mutlak terhadap Umno, terutamanya di peringkat negeri.

“Bagi Selangor, kesetiaan Noh Omar dan bukannya tokoh lain, adalah kuncinya,” katanya merujuk kepada Pengerusi BN Selangor yang juga menteri pembangunan usahawan dan koperasi itu.

Menurut Oh, pengguguran Isham juga menunjukkan golongan muda dan baru dalam parti tidak dapat menandingi “kekejaman” politik orang lama.

Namun bagi Hisommudin, pengguguran Isham bukan langkah penamat karier politiknya.

“Dengan dinamika politik dalaman Umno, pelbagai perkara di luar perhitungan boleh berlaku.

“Cuma adakah dengan pemecatan ini menyebabkan rekahan kumpulan di dalam Umno semakin melebar atau sebaliknya.

“Perkara ini yang perlu dilihat di sebalik pengumuman pemecatan Isham Jalil.”