- Iklan -
Berita

Selepas 6 bulan, penduduk Hulu Langat masih ‘trauma’ dengan banjir

Masih ada mangsa banjir yang berdepan kesan kerugian akibat banjir sehingga sekarang.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Sebuah rumah yang ditinggalkan mangsa banjir di Hulu Langat akibat kerosakan teruk.
Sebuah rumah yang ditinggalkan mangsa banjir di Hulu Langat akibat kerosakan teruk.

Selepas enam bulan Hulu Langat di Selangor dilanda insiden banjir terbesar yang pernah dialaminya, aktiviti masyarakat di daerah itu dilihat seakan-akan sudah kembali seperti biasa.

Bagaimanapun, tinjauan MalaysiaNow di sekitar kawasan itu mendapati kebanyakan kedai sudah kembali beroperasi manakala kediaman penduduk pula selesai dibaik pulih dan boleh didiami.

Namun begitu, terdapat juga beberapa kesan “peninggalan” daripada insiden banjir tersebut yang akan terus mengingatkan masyarakat setempat akan bahaya yang menanti mereka pada masa hadapan.

Antaranya, kesan air banjir yang masih kelihatan pada beberapa dinding kediaman penduduk di situ, menandakan ketinggian paras air ketika rumah mereka ditenggelami selain beberapa rumah yang terpaksa ditinggalkan akibat kerosakan teruk.

Bagi penduduk dari Batu 15, Dusun Tua, Mohd Riffin Arsat, insiden banjir tersebut menyebabkan dia dan anaknya terpaksa berpindah dan mencari kediaman baru apabila rumah yang sudah didiaminya lebih 31 tahun hampir roboh akibat insiden banjir tersebut.

Mohd Riffin Arsat menyusun kayu tinggalan rumahnya di Hulu Langat.

Malah, kejadian banjir yang berlaku pada waktu malam dan begitu pantas itu menyebabkan Riffin tinggal sehelai sepinggang apabila dia terpaksa meninggalkan segala harta benda miliknya untuk menyelamatkan diri ke kawasan tinggi.

“Apabila esoknya saya pulang ke rumah, semua barangan termasuk pakaian saya rosak dan dipenuhi lumpur,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Apa yang saya pakai pada malam itu, itu sajalah harta saya yang tinggal,” katanya.

Menurut Riffin, insiden banjir itu mengakibatkan rumahnya yang diperbuat daripada kayu menjadi senget dan tidak selamat untuk didiami, menyebabkan dia dan anaknya terpaksa tidur di sebuah perhentian bas di depan rumahnya selama tiga hari sementara mereka memikirkan langkah seterusnya.

Meskipun berdepan dugaan besar itu, Riffin tetap berasa syukur apabila ramai tampil membantunya seperti menyumbangkan makanan dan pakaian.

“Ada juga NGO yang menghulurkan sumbangan kewangan, manakala NGO seperti Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) sudah beberapa kali datang melawat saya untuk menyumbang barangan keperluan,” tambah Riffin.

Riffin berkata, sejak daripada insiden itu, dia kini menetap di Nanding, Hulu Langat, bersama anaknya yang bekerja sebagai seorang penghantar barang.

Katanya, kediaman lamannya dirobohkan kira-kira sebulan yang lalu oleh tuan tanah atas faktor keselamatan.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaNow sekitar rumah Riffin turut mendapati, dua lagi rumah yang diperbuat daripada kayu mengalami kerosakan teruk dan penghuninya dikatakan berpindah ke tempat lain.

Hassan Ibrahim yang berkerusi roda masih mengalami trauma jika hujan lebat melanda kawasan rumahnya.

Seorang lagi penduduk Dusun Tua, Hassan Ibrahim, berkata walaupun insiden banjir besar itu berlaku enam bulan lalu, ia masih menghantui dirinya kerana bimbang insiden sama akan berulang pada masa hadapan.

Hassan berkata, setiap kali hujan di kawasan itu, dia sukar untuk tidur malam kerana bimbang paras air akan meningkat secara mendadak, malah disebabkan kediamannya terletak bersebelahan dengan Sungai Langat, dia sedar akan risiko menjadi antara rumah terawal dinaiki air.

“Saya dan isteri sudah menetap sini lebih 40 tahun dan ini merupakan banjir yang paling teruk pernah dialami, malah lebih teruk daripada insiden banjir pada 1971.”

“Setiap kali hujan memang saya susah hati,” kata Hassan yang kudung kaki kanan akibat kemalangan tujuh tahun lalu.

Menurut Hassan, rumahnya siap dibaik pulih pada Mei lalu selepas menerima bantuan zakat

“Apabila air sudah surut, beberapa bahagian rumah kami hilang. Hanya tinggal ruang tamu.”

“Nilai kerugian dianggarkan sekitar RM100,000. Mujur kami terima bantuan zakat untuk melakukan kerja baik pulih,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Hassan dan isteri berharap untuk berpindah ke sebuah lokasi baru yang bebas daripada insiden banjir kerana tidak lagi mahu menghadapi situasi sama.

“Tetapi kami tak mampu untuk beli rumah baru kerana harga tanah atau rumah baru lebih daripada kemampuan kami.

“Apa saja yang kami boleh buat? Hanya teruskan kehidupan di sini dan berdoa agar terus selamat,” katanya.