- Iklan -
Berita

Ismail bidas DAP berhubung dakwaan ‘berdolak-dalik’ tentang PRU15

Ismail menegaskan penetapan tarikh pilihan raya umum adalah hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 di Taman Tugu hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 di Taman Tugu hari ini. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membidas dakwaan DAP yang mengatakan beliau “berdolak-dalik” mengenai penetapan tarikh pilihan raya umum (PRU) akan datang, sekali lagi menegaskan hak prerogatif untuk memutuskannya adalah terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Eloklah kalau ‘flip-flop’ supaya dia orang (DAP) tidak tahu bila pilihan raya umum diadakan,” katanya kepada pemberita hari ini, sambil menambah perdana menteri sebelum beliau tidak pernah menetapkan tarikh PRU.

“Kalau tanya kepada Dr Mahathir (Mohamad) waktu itu, dia (akan) kata ‘Saya belum dapat ilham,” katanya.

“Kalau saya beritahu lebih awal, seronoklah DAP, boleh ‘prepare’ awal-awal.”

Ismail berdepan tekanan daripada sekumpulan pemimpin utama Umno terutama presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak supaya membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 diadakan lebih awal.

Bagaimanapun, perdana menteri yang mendapat sokongan daripada ahli Parlimen bukan Barisan Nasional (BN) seperti Perikatan Nasional dan GPS itu mengulangi bahawa beliau hanya akan mengumumkan PRU melalui saluran yang betul termasuk berbincang dengan Kabinet.

“Kabinet akan memberikan mandat kepada saya untuk mengadap Agong untuk menasihatkan baginda. Kuasa terakhir dari segi penentuannya adalah pada Agong.

“Kerana di bawah Perlembagaan, Agong boleh menolak atau bersetuju (syor membubarkan Parlimen),” kata Ismail hari ini, sambil menambah bahawa beliau tertakluk di bawah peruntukan Perlembagaan yang memberikan kuasa kepada Agong.

“Saya tidak boleh kata tarikh yang tepat. Sebab itu seakan saya mengambil alih kuasa Agong. Jadi, kalau saya sebut tarikh, saya sudah mendahului kuasa Agong. DAP punya perangai mungkin dia tak hormat Agong, tetapi saya menghormati Agong,” katanya selepas menghadiri sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di taman hutan Taman Tugu hari ini.

Kenyataan Ismail hari ini adalah kali kedua beliau membidas serangan yang menggesa PRU diadakan lebih awal termasuk dari pemimpin Umno yang mendakwa parti itu boleh mengulangi kemenangan seperti apa yang diperolehi dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini.

Ramai pemerhati yakin desakan dari pemimpin Umno supaya PRU diadakan lebih awal mempunyai kaitan dengan kes mahkamah yang dihadapi mereka, di mana kumpulan yang digelar sebagai “kluster mahkamah” termasuk Zahid dan Najib berdepan ratusan pertuduhan rasuah membabitkan dana berbilion ringgit.

Kumpulan itu juga dipercayai menjadi dalang pemilihan Umno ditangguhkan sehingga PRU diadakan, keputusan yang dilihat sebagai usaha menghalang kebangkitan Ismail dalam kepimpinan parti.

Berbeza dengan tradisi di bawah era kerajaan BN sebelum ini, Ismail menjadi perdana menteri sedangkan beliau bukan presiden parti.

Awal minggu ini, veteran Umno yang lantang dan ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz berkata langkah supaya pemilihan parti ditangguhkan adalah bagi menghalang Ismail menjadi presiden.

Nazri berkata kepimpinan Umno ketika ini juga dijangka kalah jika pemilihan parti diadakan sekarang.

Berhubung PRU, Nazri berkata ahli Umno biasa membantah sebarang langkah bagi mengadakan PRU dalam masa terdekat.

“Mereka tidak mahu pilihan raya awal. Mereka ini orang yang jujur yang terkesan dengan yang apa sedang berlaku.

“Kluster mahkamah dan mereka yang kalah pilihan raya sahaja yang mahu pilihan raya,” kata Nazri kepada MalaysiaNow.