- Iklan -
Berita

Dikhuatiri tercemar salmonella, pengimport mentega kacang ‘Jif’ diminta tarik balik produk

Penjual diminta menghentikan penjualan mentega kacang 'Jif' dengan nombor batch 274425-2140425 dengan serta-merta.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan AS telah mengarahkan produk mentega kacang Jif dieksport ke beberapa negara ditarik balik ekoran pencemaran bakteria salmonella. Gambar: Facebook
Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan AS telah mengarahkan produk mentega kacang Jif dieksport ke beberapa negara ditarik balik ekoran pencemaran bakteria salmonella. Gambar: Facebook

Kementerian kesihatan (KKM) telah meminta syarikat yang mengimport produk mentega kacang berjenama “Jif”, untuk menarik balik produk itu daripada pasaran.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia berdasarkan semakan yang dilakukan KKM ke atas data Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM), yang mendapati produk berkenaan telah diimport ke negara ini.

Beliau berkata KKM mengambil maklum berhubung isu penarikan balik produk itu dari pasaran Amerika Syarikat, kerana dikhuatiri tercemar dengan bakteria salmonella melalui notifikasi yang diterima dari International Food Safety Authorities Networks (INFOSAN).

“Notifikasi tersebut menyatakan Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (USFDA) telah mengarahkan produk mentega kacang berjenama Jif, dengan nombor kumpulan di antara 1274425 hingga 2140425 iaitu hanya melibatkan tiga digit terakhir 425 ditarik balik, kerana telah tercemar dengan bakteria Salmonella.

“Produk mentega kacang tersebut telah diedarkan ke beberapa negara seperti Kanada, Thailand, Honduras, Sepanyol, Jepun, Korea, Taiwan, Singapura dan termasuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata selain itu, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan terus memantau di semua pintu masuk negara, bagi memastikan tiada produk terlibat memasuki negara.

“Penjual hendaklah menghentikan penjualan produk terlibat dengan nombor batch di antara 1274425 hingga 2140425 dengan tiga digit terakhir 425 dengan serta-merta, manakala pengguna yang telah membeli produk tersebut dengan nombor batch terlibat diminta untuk tidak memakan produk tersebut,” katanya.

Salmonella merupakan sejenis bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan sekiranya terdapat dalam makanan seperti daging, ayam, telur, buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan yang telah diproses, jika aspek kebersihan diabaikan atau makanan tidak diproses dengan sempurna.

Sebarang maklumat atau kemusykilan, pengguna boleh menghubungi pejabat kesihatan daerah yang terdekat atau menyalurkannya melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.