- Iklan -
Berita

‘Politiking berterusan’ cetus persoalan berhubung kempen kestabilan BN

Pemerhati politik berkata konflik dalaman yang timbul walaupun prestasi gabungan itu dilihat kukuh boleh menyebabkan rakyat melihatnya sebagai sikap hipokrit pemimpin.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin Barisan Nasional diketuai Ahmad Zahid Hamidi meraikan kemenangan selepas memenangi Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac.
Pemimpin Barisan Nasional diketuai Ahmad Zahid Hamidi meraikan kemenangan selepas memenangi Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac.

Khabar angin mengenai perebutan kuasa di Melaka selepas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) telah menimbulkan persoalan mengenai kempen kestabilan dalam parti itu yang didakwa menjadi formula kemenangannya di peti undi.

PRN Melaka pada November tahun lalu dicetuskan oleh penarikan sokongan empat ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Semasa PRN Melaka, Barisan Nasional (BN) berkempen menggunakan sentimen kestabilan politik.

Ia juga dapat dilihat dalam PRN Johor, yang mana BN menggunakan kestabilan sebagai slogan mereka.

BN membaca sentimen rakyat dengan tepat apabila mengandaikan rakyat tidak mahu melihat percaturan politik yang tidak berkesudahan, di mana kerajaan negeri Melaka tumbang selepas empat Adun menarik sokongan terhadap Sulaiman.

Namun selepas kemenangan BN, pergolakan politik mula kedengaran di negeri itu apabila krisis dikatakan berlaku antara Sulaiman selaku ketua menteri dan Rauf selaku pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka.

Krisis antara Rauf juga dikatakan mengakibatkan Idris Haron mengubah haluan politiknya menyertai PKR.

Krisis menteri besar turut berlaku di Johor selepas PRN walaupun singkat.

Onn Hafiz Ghazi, Adun Machap menggantikan penyandang, Hasni Mohammad secara mengejut.

Ia menimbulkan persoalan sama ada label kestabilan masih relevan untuk dikaitkan dengan gabungan itu.

Bercakap kepada MalaysiaNow, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali berkata, pergelutan dalaman Umno seakan dibawa ke luar dengan berita mengenai perebutan kuasa.

“Terbukti walaupun BN menang besar, tapi pentadbiran negeri tetap diganggu-gugat. Ia menunjukkan Umno dan BN sendiri tidak begitu stabil.

“Ini meresahkan rakyat sebab rakyat mahukan kerajaan yang stabil,” katanya.

Sejak Pilihan Raya Umum ke-14 lepas, Umno terbahagia kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan yang bersama dengan presiden Zahid dan kumpulan yang berada dalam kerajaan, selepas parti itu membentuk kerjasama dengan PAS dan Bersatu.

Katanya, khabar-khabar angin itu sememangnya memberi pengaruh kepada persepsi rakyat.

“Rakyat akan merasa Umno ini hipokrit. Selama ini mereka menjaja kestabilan, tetapi kini mengganggu ketua menteri pula,” kata Mazlan merujuk kepada pergolakan dalaman Umno Melaka.

Oh Ei Sun, penganalisis politik dari Singapore Institute of International Affairs berkata, persepsi kestabilan yang diberikan kepada Umno dan BN melangkaui masalah pergolakan dalaman parti Melayu terbesar itu.

“Pesona kestabilan Umno lebih halus daripada sekadar perebutan kuasa.

“Ia adalah idea bahawa di bawah Umno, keistimewaan Melayu akan dimartabatkan, manakala di bawah Pakatan Harapan (PH), keistimewaan ini mungkin tidak akan dilindungi,” katanya.

Dalam konteks ketidakstabilan yang diakibatkan daripada lompat parti, kata beliau masyarakat Melayu tidak berapa kisah dengan pertukaran watak yang memegang kuasa, asalkan imej pelindung keistimewaan orang Melayu masih terpakai.

“Bukan Melayu tidak akan menyokong Umno dalam apa kes sekalipun, dalam hal ini pandangan mereka terhadap kestabilan itu tidak penting, kerana mereka tidak akan mengundi Umno.

“Bagi orang Melayu, tanggapan tentang kestabilan disokong oleh ketakutan mereka untuk kembali kepada era PH,” katanya.

Bagi Mazlan, beliau menjangkakan krisis politik terbuka bakal terjadi sekiranya Rauf mendapat restu dan boleh menjatuhkan Sulaiman.

“Tidak mustahil akan ada keluar atau lompat parti. Orang akan salahkan Umno walaupun ia dilakukan segelintir pemimpin mereka,” katanya.

Katanya, dalam keadaan rakyat tertekan dengan kenaikan harga barang, Umno wajar mengurangkan berpolitik yang tidak berkesudahan.