- Iklan -
Berita

Malaysia ambil langkah siap siaga hadapi cacar monyet

Penggunaan aplikasi MySejahtera dan protokal SOP yang dijalankan bagi Covid-19 akan dilaksanakan.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penumpang di klia2 memakai pelitup muka bagi mencegah jangkitan Covid-19.
Seorang penumpang di klia2 memakai pelitup muka bagi mencegah jangkitan Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini berkata negara sedang memperkasakan persiapan dalam berdepan wabak cacar monyet walaupun tiada kes penyakit itu dikesan dalam negara setakat ini.

Pada sidang media hari ini, beliau berkata kementerian memantau perkembangan penularan virus di negara yang melaporkan kes penyakit itu bagi mencegah ia masuk ke dalam negara.

“Kita sudah meletakkan petugas kesihatan di pintu masuk antarabangsa, selain pegawai imigresen bagi memantau simptom cacar monyet dalam kalangan penumpang.

“Jika mereka mengalami gejala, penumpang tersebut akan dirujuk serta-merta kepada pihak berkuasa kesihatan di lapangan terbang antarabangsa,” katanya.

Beliau turut berkata aplikasi MySejahtera akan dikemas kini bagi memastikan penumpang dari negara yang melaporkan kes wabak itu untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

Beliau berkata pelawat dari negeri-negeri yang sudah mengumumkan endemik cacar monyet perlu menjalani perintah kuarantin kendiri melalui aplikasi tersebut.

“Namun bagi negara-negara yang tiada kes endemik (cacar monyet) hanya akan menerima notifikasi, bagi memastikan mereka berjaga-jaga dan memantau simptom wabak itu dalam tempoh 21 hari,” katanya.

Cacar monyet yang biasanya dikesan di negara Afrika seperti Nigeria dan Cameroon itu dikenal pasti menylar di beberapa negara Eropah termasuk United Kingdom dan Belanda.

Bagaimanapun, pakar kesihatan mengatakan tahap penularannya masih berada di tahap endemik dan tidak berisiko tinggi.

Dalam pada itu, Khairy berkata pihaknya sedang meningkatkan keupayaan diagnostik di mana setakat ini negara mempunyai keupayaan ujian saringan PCR bagi mengesan cacar monyet.

“Kita akan pertingkat keupayaan dengan mendapatkan lebih banyak agen untuk ujian.

“Dengan itu, kita ada kapasiti untuk jalankan ujian bagi cacar monyet menggunakan isolasi PCR dan seterusnya mampu merawat pesakit.”

Setakat ini, Khairy berkata masih tidak ada sebarang kes cacar monyet dalam negara dan menggesa orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah jangkitan cacar itu.

“Kita sudah biasa dengan protokol penyakit berjangkit yang berjalan stabil berdepan Covid-19 sejak dua tahun lalu,” katanya sambil berkata prosedur operasi standard (SOP) seperti pengesanan kontak rapat, penggunaan MySejahtera dan kuarantin kendiri akan dilaksanakan bagi berdepan jangkitan cacar tersebut.