- Iklan -
Berita

‘Besar pun cantik’: Gemuk trend yang semakin diterima?

Ia adalah berdasarkan tanggapan selagi seseorang mengambil jumlah kalori yang sesuai untuk tubuhnya, ia sudah memadai tidak kira sama mereka bertubuh besar atau kurus.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi

Sejak sekian lama, masyarakat dunia mempunyai obsesi melampau terhadap golongan kurus sehingga golongan yang gemuk atau berbadan besar seringkali tidak mendapat tempat dalam kehidupan seharian.

Di papan-papan iklan, akhbar dan majalah, golongan kurus seringkali dikedepankan sebagai model untuk menghiasi sesuatu iklan.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini, keadaan mulai berubah.

Stesen televisyen swasta di Malaysia umpamanya sudah mula menonjolkan golongan berbadan besar sebagai pengacara berita, sesuatu yang tidak mungkin dapat dilihat sebelum ini.

Contohnya seperti pelawak, pelakon dan pengacara televisyen Sherry Alhadad yang berbadan besar kini sering diundang sebagai pengacara untuk rancangan dan anugerah berprestij disiarkan secara langsung di kaca televisyen oleh beberapa syarikat penyiaran tempatan.

Malahan Mattel, syarikat pengeluar anak patung terkemuka turut memperkenalkan Barbie dengan saiz gempal sejak empat tahun lalu.

Di pentas peragaan dan butik-butik pakaian, model bersaiz besar mendapat tempat dan sambutan hangat.

Perkembangan ini sudah sampai ke satu tahap di mana ramai orang sudah mula menerima dan meraikan golongan berbadan besar.

Berbeza dengan keadaan sebelum ini apabila mereka yang berbadan besar sering dikaitkan dengan kegemukan, obesiti, tidak sihat, kuat makan dan tidak menarik.

Trend terbaru diet

Bagaimanapun, akhir-akhir ini, menjadi sangat lapuk untuk mengakui anda sedang cuba menurunkan berat badan sedangkan semua orang kini mengamalkan konsep baru dikenali sebagai “clean eating”.

Konsep diet ini mula diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS) lebih kurang 20 tahun lalu dengan menegaskan pemakanan mengikut pengambilan kalori yang diperlukan oleh badan adalah berbeza bagi setiap individu.

Secara ringkasnya, asalkan seseorang itu mengambil kalori yang tepat untuk badan masing ianya sudah memadai tanpa mengira mereka berbadan besar atau kurus.

Sebenarnya, fenomena ini bukan sesuatu yang baru.

Tabiat pemakanan dan cara memasak daripada pelbagai kebudayaan Eropah semasa Zaman Pertengahan (abad ke-5 hingga abad ke-16) meletakkan pengambilan kalori yang tinggi khusus kepada golongan bangsawan.

Golongan elit di Eropah ketika itu mempunyai imej seperti berbadan besar dan disediakan menu serta sajian khas yang terdiri hanya daripada daging khinzir, ayam, burung dan ikan kod.

Mereka perlu kelihatan gemuk sebagai satu reputasi darjat bangsawan ketika itu.

Manakala bagi golongan bawahan dan hamba mempunyai akses kepada bahan makanan yang sangat terhad seperti roti dan minuman yang boleh diambil dari sungai dan perigi.

Ketika itu, air dipandang sebagai satu pilihan biasa untuk minum dan minuman beralkohol sentiasa menjadi kegemaran golongan bangsawan kerana dianggap lebih berkhasiat untuk pencernaan berbanding air.

Golongan hamba seringkali dipaparkan melalui karya-karya seni dan sejarah sebagai sangat kurus dan berbaju nipis, satu perbezaan ketara dengan golongan bangsawan.

Beberapa tahun sebelum revolusi industri bermula, pola pemakanan yang berasaskan bijirin dan gandum untuk kelas yang lebih rendah mulai berubah.

Golongan bangsawan mula mengimpikan bentuk badan yang lebih ramping dan kurus susulan perkembangan fesyen pakaian yang kian berkembang akibat permintaan yang tinggi oleh elitis dan kepesatan industri tekstil di Eropah.

Perubahan-perubahan itu berperanan meletakkan asas makanan dan masakan untuk Eropah moden hingga ke hari ini.

Dengan itu, banyak cara untuk memastikan golongan bangsawan mendapat tubuh badan yang ideal.

Antaranya puasa daripada mengambil sebarang makanan berkalori tinggi seperti daging dan sayur-sayuran.

Sebaliknya, mereka hanya mengambil roti dah makanan tenusu serta telur.

Hanya selepas revolusi industri, daging menjadi lebih umum kepada golongan pertengahan bahkan juga untuk orang miskin.

Ini bermaksud, tenaga kerja berkurangan akibat revolusi dan upah melonjak naik.

Kini, dengan terminologi baru terhadap diet berupaya membawa masyarakat dunia kembali kepada tabiat pemakanan di zaman dahulu kala.

Bagaimanapun, beberapa pakar pemakanan yang dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini dengan mengatakan mereka tidak arif dan belum diberitahu mengenai trend tersebut.

Seorang instruktor kesihatan dan selebriti media sosial, Hanif Loid memberitahu trend diet pengambilan kalori sudah lama bertapak di Malaysia namun dirahsiakan oleh instruktor kesihatan (personal trainer) bagi memastikan tips dan teknik pemakanan diajarkan bagi pelajar yang mengikuti kelas berbayar di bawah sekian mereka.

Dari situ, mereka akan kongsikan pelan nutrisi dan jadual pemakanan sebagai asas diet.

Kata Hanif, sejak beberapa tahun lepas, trend tersebut semakin meluas diperkatakan oleh pakar dan selebriti kesihatan di media sosial sebagai cara untuk menarik perhatian orang ramai supaya mendaftarkan diri dengan program kesihatan mereka.

“Diet kira kalori adalah kita mengambil kuantiti kalori yang kita perlukan sahaja. Sebab kantung makanan adalah berbeza. Macam belon, kalau lebih memang membesar, kalau kita ambil sedikit ia akan maintain dan biasa.

“Di Barat, terminologi ini memang dah sangat lama digunakan. Tetapi di Malaysia, kita masih berpegang kepada konsep-konsep diet kuno yang dicipta oleh mereka yang tidak bertauliah.

“Tetapi apabila media sosial dah banyak yang berani bersuara, maka ia makin menular,” katanya kepada MalaysiaNow.

Jelas Hanif, pengamalan diet dengan mengira kalori adalah bergantung kepada matlamat individu.

Sekiranya seseorang mahu membesarkan badan, tambah berat dan bina otot, maka kalori yang diambil perlu bertambah.

Jika matlamat untuk mengecilkan badan, kurus dan kurangkan peratusan lemak, mereka perlu mengira kalori dengan teliti.

Tambahnya, trend diet tersebut tidak mempunyai sebarang masalah. Tetapi memandangkan rakyat Malaysia masih belum memahami konsepnya dan perkara-perkara lain seperti berat otot, berat lemak dan berat air, terdapat salah anggap terhadap pengamalannya.

“Jadi kalau kita ingat kita berat, overweight, terlebih kiraan BMI ni, kita ingat kita gemuk.

“Tidak. Ahli bina badan yang tak ada lemak, semua otot pun beratnya tinggi. Cuma berat otot tinggi, peratusan lemak rendah.”