- Iklan -
Berita

Mavcom mulakan siasatan selepas terima banyak aduan tangguh penerbangan

Pihak berkuasa penerbangan itu berkata syarikat penerbangan yang terlibat diarahkan untuk menyerahkan data gangguan jadual penerbangan sejak 29 April hingga 9 Mei

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Penumpang beratur menunggu penerbangan mereka pada 30 April lalu. Gambar: Bernama
Penumpang beratur menunggu penerbangan mereka pada 30 April lalu. Gambar: Bernama

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) hari ini berkata pihaknya sedang menyiasat syarikat penerbangan yang membuat perubahan jadual penerbangan tanpa memberi notis yang mencukupi, selepas menerima pelbagai aduan daripada penumpang sepanjang tempoh perayaan.

Sehubungan itu, Mavcom berkata pihaknya sudah mengarahkan syarikat-syarikat penerbangan untuk menyerahkan semua data berhubung gangguan jadual penerbangan dari 29 April hingga 9 Mei 2022.

Katanya, ia adalah bagi mendapatkan informasi yang objektif, tepat dan menyeluruh berkenaan isu tersebut.

“Data yang dipohon ini termasuk informasi berkenaan penerbangan berjadual yang dirancang oleh semua syarikat penerbangan berbanding jumlah penerbangan yang dijadualkan semula yang berlangsung semasa tempoh perayaan tersebut,” kata Mavcom dalam sebuah kenyataan hari ini.

Menurut Mavcom, Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) yang diperkenalkan sejak 2016 menjadi rujukan syarikat penerbangan di mana mereka dikehendaki memaklumkan pengguna mengenai sebarang perubahan status penerbangan secepat mungkin.

“Untuk penundaan penerbangan selama dua jam atau lebih, syarikat penerbangan mesti menyediakan makanan serta memberikan pengguna akses kepada panggilan telefon serta internet.

“Di samping itu, bagi penundaan penerbangan selama lima jam atau lebih, syarikat penerbangan harus menyediakan penginapan dan pengangkutan, jika diperlukan oleh pengguna,” katanya.

Mavcom turut berkata sekiranya penerbangan yang dijadualkan semula tidak memenuhi tujuan perjalanan pengguna, bayaran balik tiket perlu dibuat oleh syarikat terlibat.

Terdahulu, pelbagai rungutan dan aduan disuarakan penumpang syarikat penerbangan tambang murah AirAsia berhubung perubahan jadual penerbangan sepanjang tempoh Hari Raya Aidilfitri.

Isu tersebut mendapat perhatian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi di mana beliau menggesa kementerian pengangkutan dan Mavcom mencari penyelesaian segera terhadap isu berkait AirAsia tersebut.

Menurut Alexander, usaha merungkai masalah berkait syarikat itu perlu dibuat secara teratur bagi memastikan penyelesaian menyeluruh dapat dirangka dan dilaksanakan.

Beliau turut berkata AirAsia akan memberikan maklum balas berkenaan isu itu dalam tempoh 24 jam.

“Selepas mengumpulkan keluhan, rungutan dan aduan pengguna (penumpang) mengenai isu kelewatan penerbangan AirAsia.

“Pihak saya membuat penelitian awal (dari segi kepentingan pengguna mengikut bidang kuasa KPDNHEP) dan terus menghubungi pengurusan AirAsia bagi mendapatkan maklum balas lanjut,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata kementeriannya sudah mengarahkan syarikat terlibat supaya menyelesaikan isu yang dialami penumpang dengan kadar segera.

Menurut Wee, pihak berkuasa sudah menegur pihak terlibat untuk memastikan tahap pematuhan yang tinggi kepada peraturan teknikal, ekonomi dan keselamatan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pengendali yang gagal mematuhinya.

“Untuk kepentingan keselamatan dan pematuhan teknikal kepada peraturan penerbangan awam, kementerian mengarahkan syarikat penerbangan untuk memantau isu teknikal berkaitan perkhidmatan penerbangan dengan lebih rapi dan menjelaskan isu ini dengan lebih baik kepada penumpang untuk mengurangkan kesulitan dihadapi mereka,” katanya.