- Iklan -
Berita

Terjejas pandemik, penumpang rayu AirAsia bayar wang tiket dibatalkan

Mereka menggesa syarikat penerbangan tambang murah itu mempertimbangkan kesukaran yang mereka hadapi dan membayar semula harga tiket penerbangan, sementara yang lain berkata mereka bersedia memboikot syarikat itu.

Azzman Abdul Jamal
4 minit bacaan
Kongsi
Kapal terbang AirAsia sedang menunggu penumpang di klia2, Sepang.
Kapal terbang AirAsia sedang menunggu penumpang di klia2, Sepang.

Dua tahun lalu, penumpang pesawat tambang murah AirAsia yang masih belum menerima bayaran balik tiket penerbangan yang dibatalkan susulan pandemik Covid-19 di mana sempadan antarabangsa ditutup bagi membendung penularan wabak itu.

Berdepan masalah kewangan akibat kejatuhan ekonomi susulan pandemik di peringkat global, meraka merayu supaya wang mereka dibayar balik, menggesa pengurusan AirAsia memahami situasi penumpang yang amat memerlukan wang .

Antara mereka itu adalah Low Pui San dari Kuala Lumpur yang telah membelanjakan lebih dari RM4,000 pada November 2019 untuk tiket penerbangan ke Korea Selatan bagi percutian keluarga.

Bagaimanapun, penerbangan yang dijadualkan pada 1 November 2020 telah dibatalkan ekoran sekatan pergerakan dan penutupan sempadan.

“Bagi saya, RM4,000 adalah satu jumlah yang besar,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Saya ingin dapatkan semula duit itu untuk disimpan sebagai wang kecemasan.”

Sementara itu, Nicholas Chan, 32 yang membeli dua tiket penerbangan ke Tokyo berjumlah RM2,000, menasihatkan supaya pihak AirAsia segera selesaikan isu bayaran balik yang dihadapi penumpang sekiranya ingin memulihkan imej syarikat itu.

Menurutnya, isu ini sudah meleret sehingga dua tahun.

“Malah, saya juga sudah serik. Tak mungkin saya akan pilih penerbangan ini pada masa akan datang walaupun terdapat tawaran harga menarik,” katanya

“Saya harap AirAsia X akan lebih bertanggungjawab.

“Sekiranya mereka terus bayar balik wang penumpang, sudah tentu mereka tidak akan menerima gambaran imej negatif.”

Bagi seorang peniaga, Muhammad Zulfadli Mohd Noor, 33, usaha untuk terus berhubung dengan AVA – chatbot AirAsia berasaskan kecerdasan buatan (AI) – hanya berakhir kecewa apabila masih tidak lagi menerima bayaran balik tiket penerbangannya ke Jeju, Korea Selatan, berjumlah RM3,036.

“Sejak penerbangan saya bertarikh 29 Jun 2020 dibatalkan, saya sentiasa menghubungi AVA, tetapi saya dimaklumkan bahawa kes sudah ditutup,” katanya.

Zulfadli juga telah membuat aduan kepada pihak Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), namun diberitahu supaya dia menunggu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonan penstrukturan hutang syarikat.

Sementara itu, Eunice Lee dari Melaka yang membeli tiket penerbangan ke Taipei, Taiwan meluahkan rasa tidak puas hati apabila maklum balas yang diterima daripada AirAsia menerusi emel menyatakan syarikat itu tidak boleh memberi bayaran balik, kredit akaun atau memindahkan penerbangan untuk penumpang selagi mahkamah tidak membuat keputusan.

Menurut emel itu, ia merujuk kepada permohonan yang dihantar AirAsia X Berhad kepada mahkamah berkaitan penstrukturan, dan dalam proses ini, penumpang dianggap sebagai pemiutang.

“Ini tidak masuk akal. Kami beli tiket dari airasia.com bukan bertujuan untuk menjadi pemiutang mereka,” tegasnya.

“Kami hanya mahu gunakan perkhidmatan penerbangan itu sahaja.”

“Pihak pengurusan mereka sangat tidak bertanggungjawab. Kami beli tiket, penerbangan dibatalkan, kemudian mereka kata ada penstrukturan dan enggan pulangkan duit hasil daripada titik peluh kami,” luah Lee.

Dalam pada itu, Pui berkata walaupun AirAsia secara sah boleh menangguhkan wang bayaran balik penumpang menerusi kelulusan mahkamah, ia tetap disifatkan sebagai perbuatan yang tidak beretika.

“Mengapa pula kami perlu bayar untuk perkhidmatan yang tidak dapat digunakan?,” soal Pui yang merupakan penumpang AirAsia sejak 10 tahun lalu.

MalaysiaNow sudah menghubungi AirAsia untuk mendapatkan maklum balas.

Boikot

Sementara itu, beberapa penumpang lain yang tidak berpuas hati dan tidak lagi lagi dapat menunggu bayaran balik tiket yang dibeli berkata mereka sedia untuk memboikot syarikat penerbangan tambang Murah itu.

Tommy Nagao, seorang guru kelas tambahan bahasa Inggeris dari Jepun berkata, dia telah mencuba untuk mendapatkan semula bayaran balik tiket penerbangannya ke Bangkok berjumlah 76,880 yen (RM2,623) seajack dua tahun lalla.

Kini, dia pasrah apabila pelbagai medium digunakan tidak mendatangkan hasil.

Katanya, akibat daripada masalah ini, ramai merasakan seolah-olah tertipu dan membuatkan mereka serik untuk menggunakan perkhidmatan syarikat tersebut pada masa akan datang.

“Saya tak boleh terima bahawa ada syarikat ambil duit pelanggan kemudian tidak mampu memberi penjelasan atau alasan yang munasabah,” katanya.

“Saya faham bahawa ramai termasuk perniagaan terjejas akibat Covid-19, tetapi perbuatan ini tidak boleh diterima dan saya tak faham bagaimana mereka boleh terlepas dari dikenakan tindakan.”

Menurut Nagao, dia turut menuntut bayaran balik tiket penerbangan dari syarikat Lion Air Thailand.

“Saya hanya terima bayaran balik tiket penerbangan Lion Air. Saya masih menunggu AirAsia memulangkan duit saya,” katanya.

Sementara itu, Karen Drummond, 49, dari Perth, Australia, memaklumkan bahawa dia menerima emel daripada AirAsia yang menyatakan proses bayaran balik akan selesai dalam tempoh 12 hingga 16 minggu.

Pada masa sama, Drummond menyatakan bahawa AirAsia turut menggalakkan supaya dia menerima bayaran dalam bentuk kredit akaun kerana ia lebih cepat, namun kekal dengan pilihan bayaran balik secara tunai.

Namun begitu, dia masih belum menerima wangnya semula, menyebabkan dia menghantar emel dan mesej menerusi media sosial secara berterusan.

“Saya boleh beri jaminan bahawa saya tidak akan menggunakan lagi perkhidmatan syarikat penerbangan ini, malah, saya menasihati ahli keluarga dan rakan supaya melakukan perkara sama,” ujarnya.

“AirAsia inginkan penumpang sentiasa mematuhi terma dan syarat, tetapi mereka sendiri yang melanggarnya.”

Tambah Drummond, dia sudah membuat kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan sudah menerima maklum balas daripada suruhanjaya itu.

“Saya akan memberi beberapa lagi maklumat tambahan bagi memudahkan Mavcom memproses aduan saya,” katanya sambil menambah tindakan AirAsia tidak memulangkan wang penumpang mereka sebagai satu perbuatan yang tidak beretika.

Claire Harris, 58, dari United Kingdom, berkata dia telah menempah tiket penerbangan dari Cebu ke Boracay, Filipina pada 8 September 2019 berjumlah AS$ 111.71 (RM486.89) dan tarikh penerbangannya dijadual berlepas pada 15 Mei 2020.

Mengakui jumlah bayaran balik tiket penerbangannya tidaklah begitu besar, namun tetap menegaskan dia masih berhak menuntut wang miliknya.

“Ini adalah soal prinsip.

“Sudah pasti proses bayaran balik akan memakan masa sebab terlalu banyak permohonan, tetapi menunggu dua tahun adalah tidak masuk akal,” katanya.