- Iklan -
Berita

Pengembara dari Malaysia boleh guna pas sempadan ke Thailand

Pas sempadan ke Thailand itu hanya dibenarkan selama tiga hari.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai dibenarkan masuk ke Thailand menggunakan pas sempadan bermula hari ini.
Orang ramai dibenarkan masuk ke Thailand menggunakan pas sempadan bermula hari ini.

Pengembara dari Malaysia dan Thailand kini boleh menggunakan pas sempadan untuk memasuki kedua-dua negara bermula hari ini.

Exco Hubungan dan Kerjasama Sempadan Perlis Ruzaini Rais berkata kelonggaran itu diberikan hasil persetujuan kerajaan Malaysia dan Thailand bagi merancakkan kembali pembangunan di kedua-dua negara.

Ruzaini berkata pengembara atau pelancong yang ingin menggunakan pas sempadan hanya perlu membuat permohonan menerusi laman portal “Thailand Pass” dalam tempoh 24 jam sebelum perjalanan ke negara berkenaan.

“Penggunaan pas sempadan ini hanya dibenarkan untuk penduduk di empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak Utara dan Kelantan.

“Mereka yang menggunakan pas sempadan juga hanya dibenarkan memasuki Thailand selama tiga hari,” katanya selepas mengadakan lawatan susulan pembukaan semula pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) hari ini.

Mengulas lanjut, Ruzaini berkata Malaysia turut memberi kelonggaran kepada pengembara atau pelancong dari Thailand yang menggunakan pas sempadan untuk berulang alik memasuki negara ini namun pihak terlibat seharusnya lengkap divaksinasi.

Beliau berkata bagi pengembara atau pelancong yang menggunakan pasport untuk ke Malaysia, prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai adalah sama seperti pembukaan sempadan negara pada 1 April lepas.

“Individu yang ingin memasuki negara ini menggunakan pasport juga perlu membeli perlindungan insurans dan melakukan saringan kesihatan terlebih dahulu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ruzaini berkata seramai 82 pengembara telah direkodkan merentasi sempadan Malaysia-Thailand menggunakan pintu sempadan ICQ Padang Besar setakat 10 pagi tadi.

Menurut beliau pihaknya menjangkakan jumlah pengembara dari kedua-dua negara itu bakal bertambah dalam tempoh seminggu selepas ini.

Pada 1 April lepas, pintu sempadan di Wang Kelian dibuka semula kepada rakyat Malaysia-Thailand selepas ia ditutup sebelum ini berikutan ancaman wabak Covid-19.