- Iklan -
Berita

Awang Adek Hussin ambil alih jawatan pengerusi SC

Beliau akan menjadi pengerusi eksekutif selama tiga tahun sehingga 31 Mei 2021.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Awang Adek Hussin. Gambar: Bernama
Awang Adek Hussin. Gambar: Bernama

Awang Adek Hussin akan mengambil alih jawatan sebagai pengerusi eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC) susulan peletakan jawatan Syed Zaid Syed Jaffar Albar berkuat kuasa pada 1 Jun depan.

Kementerian kewangan berkata Awang Adek akan memegang jawatan tersebut bagi tempoh tiga tahun sehingga 31 Mei 2025 selaras dengan Seksyen 4(2) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (Akta 498).

Dalam sebuah kenyataan, kementerian itu berkata Awang Adek mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang pasaran modal dan kewangan Islam.

Beliau berkelulusan ijazah kedoktoran dalam bidang ekonomi daripada University of Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Beliau juga berpengalaman memegang jawatan sebagai penolong gabenor di Bank Negara dan merupakan bekas ahli lembaga pengarah SC.

Awang Adek juga merupakan bekas pengerusi Tenaga Nasional Berhad, ketua pengarah pertama bagi Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Persisir Labuan (LOFSA) selain pernah menjadi duta Malaysia ke Amerika Syarikat.

Beliau merupakan timbalan menteri kewangan pada 2006 hingga 2013.

“Kementerian kewangan yakin Awang Adek mampu memberi sumbangan cemerlang demi memastikan SC mencapai matlamatnya untuk menjadi organisasi yang berprestasi tinggi.”

Ia turut mengucapkan terima kasih kepada Syed Zaid di atas sumbangan, serta khidmat bakti beliau sepanjang tempoh sebagai Pengerusi Eksekutif SC sejak 1 November 2018 hingga 30 Mei 2022.