- Iklan -
Berita

Pejuang Gaza balas serangan, lancar roket sasar pesawat Israel

Kejadian berbalas serangan antara Israel dan Palestin sejak semalam adalah situasi konflik terbesar sejak pertempuran meletus selama 11 hari tahun lalu.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Konflik antara warga Palestin dan pihak berkuasa Israel terus bergolak ketika umat Islam menjalani bulan Ramadan. Gambar: AFP
Konflik antara warga Palestin dan pihak berkuasa Israel terus bergolak ketika umat Islam menjalani bulan Ramadan. Gambar: AFP

Pejuang Palestin melepaskan beberapa tembakan roket dari Gaza ke arah Israel, sebagai tindak balas terhadap serangan udara awal pagi tadi.

Ia adalah situasi konflik terbesar sejak pertempuran yang meletus selama 11 hari tahun lalu.

Pada Rabu, sebuah roket yang dilancarkan dari Gaza pada petang Rabu jatuh di sebuah taman di Sderot, sebuah bandar di selatan Israel.

Ekoran itu, Israel membalas serangan menyasarkan Gaza pada tengah malam, kata saksi dan sumber keselamatan.

Selepas serangan tengah malam semalam, pejuang Palestin kemudiannya membalas serangan dengan melancarkan sekurang-kurangnya empat roket dari Gaza.

Israel berkata pesawatnya melancarkan serangan terhadap pos tentera dan beberapa terowong “mengandungi bahan kimia yang digunakan untuk membuat roket”.

Sementara kumpulan Hamas yang menguasai Gaza berkata ia menembak roket ke arah pesawat Israel.

Kejadian berbalas serangan itu berlaku selepas hampir sebulan rusuhan antara Israel dan wilayah Palestin di mana ia menyebabkan korban nyawa.

Pertempuran turut tercetus di Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis di mana ia juga dikenali penganut Yahudi sebagai Temple Mount.

Sementara itu, polis Israel berkata puluhan perusuh membaling batu dan bom petrol dari kawasan masjid.

“Sekumpulan perusuh menghalang jemaah Islam daripada memasuki kawasan masjid sehingga menyebabkan kerosakan di kawasan sekitarnya,” dakwa polis.

Dalam pada itu, tujuh rakyat Palestin yang merupakan penduduk di kawasan timur Baitulmaqdis telah ditahan kerana disyaki mengambil bahagian dalam “insiden ganas” pada Rabu.