- Iklan -
Berita

Beberapa sektor pekerjaan diberi kelonggaran berhubung gaji minimum

Syarikat yang kurang dari lima pekerja, dan syarikat berdepan kerugian besar seperti sektor perhotelan dan pelancongan adalah antara kumpulan yang diberi kelonggaran.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Dua pekerja am menggunakan troli mengambil upah mengangkat barang ke dalam feri di  Pelabuhan Klang Selatan, Selangor.
Dua pekerja am menggunakan troli mengambil upah mengangkat barang ke dalam feri di Pelabuhan Klang Selatan, Selangor.

Beberapa sektor pekerjaan termasuk sektor tidak formal akan diberi kelonggaran apabila pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei ini, kata Menteri Sumber Manusia M. Saravanan.

Antaranya adalah kerja kampung, syarikat yang kurang dari lima pekerja, dan syarikat yang berdepan kerugian besar seperti sektor perhotelan dan pelancongan, katanya.

Menekankan bahawa pendekatan sama iaitu kelonggaran yang diberikan adalah sama ketika perintah gaji minimum pada 2012, Saravanan berkata kerajaan juga akan memberikan tempoh setahun kelonggaran bagi mana-mana pihak yang memerlukan dan tempoh tersebut boleh dipanjangkan mengikut kuasa menteri.

“Orang kampung (masih) bekerja dengan gaji RM500, RM600. Kalau saya paksa mereka dibayar RM1,500, mereka mungkin akan hilang pekerjaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran inisiatif Microcredential Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) semalam.

Pada 19 Mac lepas, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelulusan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan di seluruh negara mulai 1 Mei ini. 

Menurut Saravanan, pelaksanaan kadar gaji minimum itu adalah selaras dengan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) yang ia perlu dikaji sekali dalam dua tahun.

“Kalau bukan sekarang, bila? Akta (Akta 732) kata dua tahun sekali. Kalau saya tak buat akan ada orang kutuk saya, Saravanan langgar akta,” katanya.

Mengenai inisiatif Microcredential HRD Corp, Saravanan berkata ia bertindak sebagai mekanisme penyambung antara institusi pengajian tinggi dan industri di Malaysia dengan sasaran penawaran sebanyak 50,000 tempat latihan kelayakan mikro kepada rakyat negara ini menjelang akhir tahun ini (2022).

Beliau berkata lebih tiga juta tempat latihan kelayakan mikro juga akan ditawarkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Microcredential HRD Corp diperkenalkan bagi membolehkan individu yang mengikuti kursus pendek diberi pengiktirafan secara profesional dan dinilai berdasarkan kepada pengetahuan, kemahiran dan sikap utama individu tersebut.

Ia merupakan pembelajaran singkat yang fokus kepada skil profesional tertentu berasaskan keperluan industri dan diiktiraf oleh majikan.

Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad dalam ucapannya sebelum itu berkata kursus berbentuk pensijilan mikro memberikan laluan kepada penganugerahan akreditasi akademik yang lebih besar, bergantung kepada dasar pindahan kredit di institut pengajian tinggi (IPT) dan badan kelayakan profesional sedia ada.

“Saya yakin dengan inisiatif ini boleh membantu menyelesaikan masalah ketidakpadanan antara kemahiran sumber manusia sedia ada dengan permintaan majikan, industri dan pasaran pekerjaan di Malaysia,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai inisiatif itu boleh diperoleh melalui https://hrdcorp.gov.my/ms/microcredential-bm/.