- Iklan -
Berita

Bagaimana kecuaian komunikasi diplomat Malaysia malukan UAE semasa lawatan rasmi Ismail

Kegagalan kedutaan memaklumkan Wisma Putra mengenai jemputan satu acara besar menyebabkan kedua-dua negara menanggung malu.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob disambut Duta Besar Malaysia ke UAE Tarid Sufian (kanan) ketika tiba di lapangan terbang Dubai pada 29 Mac lalu. Kecuaian komunikasi oleh kedutaan Malaysia di UAE menyebabkan  Ismail tidak disambut dengan protokol rasmi sebagai ketua negara semasa ketibaannya. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob disambut Duta Besar Malaysia ke UAE Tarid Sufian (kanan) ketika tiba di lapangan terbang Dubai pada 29 Mac lalu. Kecuaian komunikasi oleh kedutaan Malaysia di UAE menyebabkan Ismail tidak disambut dengan protokol rasmi sebagai ketua negara semasa ketibaannya. Gambar: Bernama

Kecuaian komunikasi beberapa diplomat kanan kedutaan Malaysia ketika lawatan rasmi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi menghadiri ekspo perdagangan antarabangsa di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini menyebabkan negara Teluk itu menanggung malu, di mana pegawai UAE terpaksa bergegas ke lapangan terbang bagi memohon maaf kepada delegasi Malaysia, MalaysiaNow difahamkan.

Akibat insiden yang disifatkan pegawai kedua-dua negara sebagai “memalukan” itu, Wisma Putra tiada pilihan selain memanggil balik duta Malaysia ke UAE, Tarid Sufian, dan konsul jeneralnya di Dubai, Hasril Abdul Hamid.

Wisma Putra dalam satu kenyataan mengesahkan kedua-dua pegawai itu ditempatkan di Putrajaya, mengatakan tindakan tersebut wajar kerana mereka gagal mengatur lawatan rasmi seorang ketua kerajaan.

“Tindakan sedemikian diambil kerana kedua-dua ketua perwakilan tersebut telah gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik bagi lawatan perdana menteri seperti mana yang sepatutnya berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi lawatan peringkat tinggi negara di luar negeri, terutamanya semasa ketibaan perdana menteri di Dubai pada 29 Mac,” katanya, sambil menyifatkan laporan sebuah laman sesawang berita berhubung insiden tersebut lebih hampir kepada “spekulasi dan tohmahan yang tidak berasas”.

Jemputan ke sidang kemuncak

Ismail melawat Dubai akhir bulan lalu bagi menghadiri acara Expo 2020, salah satu pameran perdagangan terbesar di dunia yang ditangguhkan sebelum ini ekoran pandemik Covid-19.

Ekspo itu diadakan sempena satu lagi acara besar, Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia, di mana Ismail turut dijemput menghadiri acara tersebut.

Bagaimanapun, jemputan itu tidak dimaklumkan kepada Wisma Putra.

“Sekiranya pihak kedutaan memaklumkan Putrajaya lebih awal mengenai jemputan itu, kejadian ini boleh dielak kerana persediaan yang perlu dilakukan sudah dibuat,” kata sumber itu.

Ia turut berkata, akibat kecuaian komunikasi kepada Wisma Putra berhubung sidang kemuncak itu, penganjur akhirnya tidak memasukkan Ismail dalam senarai pemimpin negara yang berucap di acara itu.

Kegagalan kedutaan Malaysia untuk memaklumkan kepada kerajaan UAE mengenai lawatan rasmi perdana menteri itu turut menyebabkan protokol rasmi bagi menyambut tetamu kenamaan antarabangsa tidak diberikan.

Ekoran itu, perdana menteri terpaksa melalui proses pelepasan imigresen biasa di lapangan terbang ketika ketibaannya.

Sumber pegawai rendah diplomatik dari UAE berkata kegagalan kedutaan Malaysia untuk memaklumkan kepada kerajaan negara itu menyebabkan UAE “menanggung malu kerana tidak dapat memberikan layanan yang baik kepada perdana menteri Malaysia”.

“Disebabkan ketiadaan sebarang maklumat diberikan kepada pihak kami, tidak ada sambutan rasmi atau iringan polis. Ini amat memalukan, lebih-lebih lagi kepada pihak tuan rumah berbanding tetamu,” tambah sumber itu.

“Dalam beberapa jam selepas diberitahu bahawa Yang Amat Berhormat (Ismail) tiba di lapangan terbang, kami hantar pegawai untuk memohon maaf,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kegagalan untuk memaklumkan kedatangan Ismail kepada pegawai kerajaan UAE, seorang diplomat Malaysia berkata tindakan mengandaikan Ismail ke negara itu bagi “lawatan peribadi” adalah salah.

“Walau apa pun alasannya, kedua-dua pihak menanggung malu akibat kecuaian sedemikian rupa. Ia adalah sebahagian daripada SOP asas bagi diplomat untuk sentiasa peka terutama apabila ketua negara membuat lawatan ke kawasan mereka,” tambahnya.

Bagaimanapun, protokol keberangkatan pulang Ismail dari Dubai jauh berbeza ketika ketibaannya di lapangan terbang negara itu.

Ismail diiringi dengan pegawai keselamatan selain proses rasmi lain yang dijalankan sesuai dengan aturan yang ditetapkan bagi pelawat kenamaan.