- Iklan -
Berita

AS tawar ganjaran kepada pemberi maklumat berkait aset 1MDB

Di bawah inisiatif Kleptocracy Asset Recovery Rewards Program, sebanyak AS$5 juta ditawarkan kepada pemberi maklumat berhubung beberapa kes rasuah termasuk 1MDB.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Skandal 1MDB merupakan subjek siasatan Jabatan Kehakiman AS sejak 2016 bagi mendapatkan semula berbilion dolar AS yang diselewengkan daripada dana kerajaan Malaysia itu. Gambar: AFP
Skandal 1MDB merupakan subjek siasatan Jabatan Kehakiman AS sejak 2016 bagi mendapatkan semula berbilion dolar AS yang diselewengkan daripada dana kerajaan Malaysia itu. Gambar: AFP

Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) akan memberikan ganjaran kepada sesiapa yang memberikan maklumat dalam usaha mendapatkan semula aset 1MDB yang diselewengkan, sebagai sebahagian daripada Kleptocracy Asset Recovery Rewards Program di mana wang sebanyak AS$5 juta ditawarkan kepada pemberi maklumat bagi membanteras rasuah global melibatkan kerajaan asing.

Skandal 1MDB yang disiasat Jabatan Kehakiman (DoJ) sejak 2016 ketika ini sedang mendapatkan semula aset bernilai bilion dolar yang dicuri daripada dana pelaburan kerajaan.

Siasatan itu disenaraikan bersama tiga kes lain termasuk kes rasuah yang dikaitkan dengan Brazil dan Rusia.

Dalam satu kenyataan, Perbendaharaan AS berkata DoJ, FBI dan Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS) sedang mendapatkan maklumat bagi proses “penyitaan, sekatan, rampasan, atau penghantaran balik aset yang dikaitkan dengan rasuah melibatkan dana kerajaan Malaysia, dikenali sebagai 1MDB”.

Pihak berkuasa AS turut berkata aset yang diselewengkan dan disimpan di bank AS dan yang disimpan oleh individu di AS boleh dilaporkan kepada inisiatif tersebut.

“Individu yang dapat memberikan maklumat sedemikian melayakkannya untuk menerima ganjaran di bawah program ini dan lain-lain,” katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghantar e-mel kepada [email protected].

“Jumlah ganjaran akan ditentukan berdasarkan pelbagai faktor, termasuk sama ada maklumat itu sebelum ini diketahui oleh agensi penyiasat, risiko ditanggung pemberi maklumat, dan kepentingan maklumat yang diberikan di mana ia membolehkan proses penyitaan, sekatan, rampasan atau penghantaran balik aset yang dikenal pasti dapat dijalankan.”

Program itu dilancarkan ketika perbicaraan kes rasuah melibatkan 1MDB sedang dijalankan di New York melibatkan bekas pegawai bank pelaburan Goldman Sachs Roger Ng atas tuduhan bersubahat mengubah wang haram dan melanggar undang-undang anti-rasuah.

Pendakwa raya berkata Goldman memperoleh sejumlah AS$6.5 bilion bagi jualan bon 1MDB sejak 2009 hingga 2014 dan bank itu turut menerima fi sebanyak AS$600 juta.

Bagaimanapun, sebanyak AS$4.5 bilion daripada jumlah tersebut diselewengkan dalam bentuk rasuah kepada pegawai kerajaan, bank dan rakan subahat mereka.

Pada 2020, Goldman membayar denda hampir AS$3 bilion dan mengatur supaya cawangannya di Malaysia mengaku bersalah di mahkamah AS.

Pada Julai 2016, DoJ berkata pihaknya sedang berusaha untuk merampas aset bernilai lebih AS$3.5 bilion yang dikaitkan dengan wang yang diselewengkan daripada 1MDB.

Badan itu turut berkata beberapa “pegawai kerajaan yang melakukan rasuah” memasukkan wang amanah awam ke dalam akaun bank peribadi, dan menamakan salah seorang daripadanya sebagai “Malaysian Official 1”, yang dikatakan menerima AS$681 juta daripada penyelewengan wang tersebut.

Ketika pengumuman tersebut, ramai menganggap “Malaysian Official 1” tersebut adalah perdana menteri Najib Razak.

Namun siapakah individu pegawai kerajaan itu tidak pernah didedahkan secara rasmi.

Pada Julai 2020, Najib disabitkan bersalah bagi tujuh pertuduhan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan dana RM42 SRC International berkait 1MDB.

Pada Disember tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukumannya di mana panel hakim menyifatkan transaksi wang ke dalam akaun peribadinya sebagai perbuatan yang “memalukan negara”.

Najib kini dalam proses rayuan kesnya di Mahkamah Persekutuan.