- Iklan -
Berita

Tiada lagi kerjasama dengan parti mahu ‘bunuh’ Umno

Timbalan presiden Umno dipercayai merujuk kepada tindakan Barisan Nasional Sarawak yang meninggalkan gabungan itu dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak pada 2018.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Ucapan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dipaparkan di skrin bagi perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Umno 2021 malam ini.
Ucapan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dipaparkan di skrin bagi perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Umno 2021 malam ini.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan memberi amaran bahawa parti itu sesekali tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang akan “membunuh” partinya.

Bagaimanapun katanya, jika satu kerjasama dibentuk ia hanya bersandarkan kepada agenda dan kepentingan masa depan yang sama.

“Umno mesti mempelopori kerjasama tadbir negara melalui perjanjian kerjasama atau coalition agreement yang berasaskan agenda bersama. Ambil iktibar selepas (PRU14), fix deposit kita hangus begitu sahaja.

“Segala rakan dan taulan yang kita dukung selama ini tidak berlengah-lengah tinggalkan kita waktu kita tewas,” katanya kepada perwakilan pada majlis pembukaan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 di Kuala Lumpur.

Walaupun tidak menyebut apa-apa nama, Mohamad dipercayai merujuk kepada tindakan Barisan Nasional(BN) Sarawak yang meninggalkan gabungan itu dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mengulas lanjut, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat menegaskan supaya parti itu segera mencari jalan keluar daripada perpecahan politik Melayu dan menjadikannya sebagai identiti parti politik yang paling dominan untuk kaum tersebut.

“Bukan sekadar parti besar dengan sorangan tiga juta ahli. Bagi saya, jadi nombor satu parti politik kuat dan dominan di Malaysia. Hanya terkuat boleh jadi teras kepada stabil. Tanpa boleh dirungut-rungut dan diugut-ugut.”

Tanpa menamakan mana-mana pihak, beliau berkata Umno tidak lagi boleh bergantung kepada sesiapa sebagai jalan untuk membentuk pakatan yang menerajui kepimpinan kerajaan.

Beliau menyifatkan kerjasama dengan blok pembangkang di peringkat pentadbiran pusat adalah sesuatu yang tidak pernah terlintas di sanubari pimpinan Umno dan perwakilan sehingga boleh mencetuskan kekeliruan.

“Kita yang sedang memerintah ke atau diperintah? Ada pula yang kata (jadi kerajaan) atas ihsan orang. Sakit hati nak jawab, tapi telan sahajalah.”

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri selepas Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri kelapan berikutan hilang sokongan majoriti di Parlimen.

Ini berlaku selepas sekumpulan ahli Parlimen Umno diketuai Ahmad Zahid Hamidi menarik kembali sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

Ismail dilantik menjadi perdana menteri selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen termasuk dari gabungan PN.