- Iklan -
Berita

Saya orang tepat berdebat isu Felda, Azmin beritahu Najib

Azmin Ali membidas tindakan bekas perdana menteri itu yang mengelak daripada berdebat dengannya berhubung isu Felda.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Penerangan Perikatan Nasional Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama
Ketua Penerangan Perikatan Nasional Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Ali membidas tindakan Najib Razak yang mengelak daripada berdebat dengannya berhubung isu Felda ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin memuncak.

Azmin sebelum ini menawarkan diri berdebat dengan Najib mengenai masalah yang dihadapi peneroka selepas Felda Global Ventures (FGV) disenaraikan.

Najib bagaimanapun mengelak untuk berdebat dengan Azmin dan sebaliknya mahu berdebat dengan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

“Kenapa Najib tak nak berdebat dengan saya? Sebab saya yang audit pengurusan Felda.

“Saya yang dipertanggungjawabkan menyiapkan kertas putih dan saya yang bentangkan kertas ini di Parlimen,” kata Azmin ketika ditemui pemberita di Muar, Johor hari ini.

Azmin merujuk kepada Kertas Putih Felda yang disediakannya semasa menjadi menteri ekonomi ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

Kertas putih yang dibentangkan di Parlimen pada ketika itu mendedahkan kepincangan Felda ketika Najib menjadi perdana menteri.

Katanya, Parlimen bersetuju dengan usul yang dikemukakan beliau, terutama pengambilan semula tanah-tanah Felda yang dipajak kepada FGV.

Tambah Azmin, beliau mempunyai maklumat mengenai Felda untuk diperdebatkan.

“Saya serahkan kepada Najib untuk timbangkan semula supaya perkara ini dapat kita laporkan kepada rakyat apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

Isu Felda antara isu hangat yang dimainkan berikutan kerusi Felda yang besar jumlahnya di Johor.

Muhyiddin sebelum ini berkata PN berjaya menyelesaikan hutang lebih RM8 bilion yang ditanggung peneroka selama bertahun-tahun.

Najib pula dalam kempennya melawat beberapa Felda untuk berkempen bagi pihak Barisan Nasional (BN).

Tambah Azmin, beberapa isu lain yang diselesaikan termasuklah kecurangan pengurusan Felda dan pembelian hartanah oleh Felda ketika zaman Najib menjadi perdana menteri.