- Iklan -
Berita

Polis kesan dokumen, saksi di luar negara bantu siasatan berhubung suami Zeti

Polis telah berhubung dengan negara terbabit, namun masih belum menerima maklum balas yang diperlukan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Tawfiq Ayman, suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz.
Tawfiq Ayman, suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz.

Polis sedang mengesan dan mengenal pasti beberapa dokumen serta saksi yang berada di luar negara bagi membantu siasatan kes melibatkan suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tawfiq Ayman berhubung dakwaan menerima dana berkaitan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din berkata pihaknya telah berhubung dengan negara terbabit, namun masih belum menerima maklum balas yang diperlukan.

“Kertas siasatan sudah lengkap dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut, namun kita mendapat arahan untuk mendapatkan dokumen dan saksi-saksi terlibat,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Kamarudin, pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya mendapatkan keterangan saksi serta dokumen berkaitan, sebaliknya perlu menunggu lampu hijau dari negara berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan Tawfiq menerusi firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co mengeluarkan kenyataan menjelaskan tidak pernah menerima sebarang bentuk rasuah daripada sesiapa.

Kenyataan itu dibuat selepas bekas pengerusi syarikat perbankan Goldman Sachs, Tim Leissner memberi keterangan ketika perbicaraan terhadap bekas pegawainya Roger Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn, New York, baru-baru ini.

Leissner dilaporkan menyebut penglibatan Tawfiq dengan rasuah dalam projek usaha sama PetroSaudi-1MDB.