- Iklan -
Berita

Kerajaan tarik balik permohonan lucut hak hampir RM16 juta milik keluarga Azeez

Keputusan itu dibuat Jabatan Peguam Negara berikutan surat representasi yang dikemukakan oleh keluarga Azeez.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim. Gambar: Bernama

Kerajaan menarik balik permohonan melucut hak wang tunai hampir RM16 juta daripada akaun milik isteri bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim, Khadijah Mohd Noor dan empat anak mereka termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, milik syarikat mereka.

Timbalan pendakwa raya Nik Haslinie Hashim memaklumkan Mahkamah Tinggi hari ini bahawa keputusan itu dibuat Jabatan Peguam Negara berikutan surat representasi yang dikemukakan oleh responden (keluarga Azeez)

“Hari ini ditetapkan untuk sebutan dan terdapat perkembangan dari segi siasatan dan juga adanya surat susulan (berhubung representasi) daripada pihak responden bertarikh 15 Februari 2022 di mana Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk menarik balik permohonan melucut hak harta tersebut.

“Sehubungan itu, perintah pelepasan (harta) akan dibuat boleh pihak pendakwa raya,” katanya.

Hakim Muhammad Jamil Hussin kemudian membatalkan permohonan kerajaan tersebut dan melapangkan tarikh pendengaran permohonan yang ditetapkan pada 21 Jun ini.

Peguam Prem Ramachandran dan Sharvin Raj yang mewakili keluarga Azeez hadir pada prosiding itu.

Pada 8 Februari lepas, Nik Haslinie memaklumkan kepada mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara menolak representasi dikemukakan ahli keluarga Azeez pada 4 Feb lepas berhubung permohonan kerajaan untuk melucut hak harta tersebut.

Pada September 2019, kerajaan memohon untuk melucut hak hampir RM16 juta daripada akaun milik Khadijah, empat anaknya iaitu Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa, Khaleeda Azeera termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, milik syarikat mereka, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.

Pada 18 Disember 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan ahli keluarga Azeez untuk menangguhkan prosiding melucut hak sementara perbicaraan kes rasuah terhadap ahli Parlimen Baling itu yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selesai.

Azeez, 55, kini dibicarakan atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta, yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Perbicaraan tersebut, bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan berhubung pembatalan kesemua pertuduhan itu di Mahkamah Rayuan.