- Iklan -
Berita

Larangan ceramah di tempat terbuka kekal ketika SPR tambah SOP PRN

Hanya ceramah di premis parti dibenarkan dengan kapasiti ruang 50% dan kehadiran tidak melebihi 100 orang.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas gabunagn Perikatan Nasional menaikkan papan tanda kempen bersebelahan sepanduk Pejuang di Larkin, Johor sempena tempoh kempen PRN Johor.
Petugas gabunagn Perikatan Nasional menaikkan papan tanda kempen bersebelahan sepanduk Pejuang di Larkin, Johor sempena tempoh kempen PRN Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan tambahan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang membenarkan ceramah diadakan di premis rasmi parti dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang atau 50% kapasiti ruang.

SPR berkata tambahan SOP yang berkuat kuasa serta merta itu dibuat berdasarkan pandangan kementerian kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun, ceramah yang dianjurkan masih perlu mengekalkan SOP penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka selain menetapkan jumlah kehadiran 100 orang adalah termasuk penganjur dan penceramah.

“Ceramah yang diadakan tidak boleh melebihi jam 12 tengah malam,” kata SPR dalam satu kenyataan sambil menambah ceramah di tempat terbuka masih tidak dibenarkan.

Pada tiga PRN sebelum ini, ceramah di premis parti dan kempen rumah ke rumah adalah tidak dibenarkan.

Kesemua parti yang terlibat pada PRN sebelum ini juga turut menumpukan kempen di dalam talian demi mengelakkan kesesakan orang ramai sekali gus membendung penularan wabak Covid-19.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin beberapa kali mencadangkan supaya SOP PRN Johor dipertimbangkan semula kerana dilihat “agak ketat dan kurang praktikal”.

“Agak ketat juga kerana hanya boleh berceramah di satu tempat (seperti) bilik gerakan, jadi takkan seluruh rakyat Johor nak datang situ. Contoh, di DUN (Dewan Undangan Negeri) Bukit Permai dan di (kampung) Felda ini sendiri jauh.

“Tidak praktikal bagi saya sedangkan majlis-majlis sosial dibenarkan, kenduri kahwin boleh, jadi apa bezanya. Kalau satu kawasan ada 30,000 pengundi macam mana nak berhubung dengan pengundi,” katanya.