- Iklan -
Berita

Jho Low kata bincang siasatan 1MDB dengan sekutu Trump, dedah Leissner

Pegawai bank Goldman Sachs tidak dapat mengesahkan maklumat tersebut walaupun Low ‘nampak selesa dan yakin.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli perniagaan Low Taek Jho dan bekas presiden AS Donald Trump.
Ahli perniagaan Low Taek Jho dan bekas presiden AS Donald Trump.

Ahli perniagaan buruan Low Taek Jho mendakwa beliau mendapat sokongan daripada sekutu bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk penyelesaian bagi siasatan kes penyelewengan dana 1MDB, kata bekas pegawai bank Goldman Sachs ketika memberikan keterangan di mahkamah negara itu pada Selasa.

Tim Leissner memberitahu mahkamah berhubung percubaan untuk berunding mengenai perkara tersebut yang didengarnya sendiri dari Jho Low pada hari keenam perbicaraan seorang lagi bekas pegawai bank Goldman, Roger Ng.

Ng, 49, tidak mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti rasuah.

Leissner bagaimanapun berkata tidak dapat mengesahkan maklumat tersebut.

Menyifatkan Low sebagai dalang penyelewengan tersebut, Leissner berkata pada 2017, Low memberitahu bahawa peguamnya sedang berbincang dengan pentadbiran Trump mengenai rundingan bernilai berbillion dolar yang berpotensi dapat menyelamatkan beberapa individu daripada pertuduhan di AS.

“Jho agak selesa dan yakin,” kata Leissner.

Low memberitahu Leissner beliau bertemu menantu Trump, Jared Kushner di Beijing dan mengupah Chris Christie, bekas gabenor New Jersey, sebagai peguamnya dengan bayaran AS$10 juta jika berjaya dalam penyelesaian tersebut.

Dalam pada itu, Leissner turut mengakui beliau “banyak menipu” sepanjang hidupnya.

Beliau berkata dirinya menipu beberapa wanita ketika disoal peguam Marc Agnifilo mengenai hubungan romantiknya dengan lima wanita.

Leissner berkata beliau pernah dua kali berkahwin dengan dua wanita secara serentak selain pernah memalsukan sijil perceraian untuk menipu seorang wanita yang mahu dikahwininya.

“Saya banyak menipu tuan, dan saya menyesali semua pilihan yang saya buat itu,” kata Leissner.

Leissner yang merupakan pegawai atasan Ng di Goldman mengaku bersalah bagi pertuduhan yang sama pada 2018 dan bersetuju untuk memberikan kerjasama kepada kerajaan.

Peguam bela Ng kini sedang berusaha untuk menunjukkan bahawa Leissner adalah dalang utama penyelewengan 1MDB, dan menipu mengenai penglibatan Ng bagi mengelak daripada hukuman penjara.

Menurut Leissner, Ng memainkan peranan utama dalam penyelewengan wang 1MDB di mana beliau sendiri memindahkan sejumlah AS$35 juta sebagai suapan kepada Ng yang merupakan pegawai kanan Goldman di Malaysia.

Selain keterangannya berkenaan hubungan sulit dan kaitannya dengan individu berprofil tinggi dalam kes penyelewengan 1MDB, Leissner juga turut mendedahkan kepercayaan Ng terhadap “seorang pakar feng shui” yang memberinya nasihat berhubung siasatan 1MDB.

Leissner berkata Ng dan isterinya Hwee Bin Lim bertemu seorang pakar feng shui di sebuah hotel di Hong Kong, di mana beliau berkata Ng akan menghadapi masalah dengan pihak berkuasa dalam tempoh lima tahun akan datang namun masalah itu akan dapat diselesaikan.

“Saya panik ketika itu,” kata Leissner.

“Mereka rasa ini akan menenangkan dan mahu menunjukkan sokongan mereka (kepada saya),” katanya.