- Iklan -
Berita

‘Undang-undang laut’: Tiba masa Malaysia tingkatkan pertahanan maritim?

Walaupun APMM masih mampu menghadapi cabaran di perairan negara, mungkin sudah tiba masa Malaysia mempertimbangkan untuk perkukuh aset pertahanannya.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Pengawal pantai Malaysia memainkan peranan penting bagi memastikan keselamatan maritim negara.
Pengawal pantai Malaysia memainkan peranan penting bagi memastikan keselamatan maritim negara.

Sejak 13 tahun lalu, pengawal pantai Salim Bujang hidup mengikut undang-undang laut.

Kerja Salim sangat berisiko dan mencabar, bahkan perlu menghabiskan masa selama beberapa minggu berdepan lautan yang bergelora.

Salim ialah ketua jurutera di atas kapal peronda Sri Aman.

Sebagai sebahagian daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dia bertanggungjawab menyelia semua operasi ketika memantau keselamatan wilayah perairan Malaysia.

Setiap pagi, dia akan memeriksa enjin dan sistem kapal, memastikan semuanya berfungsi seperti sepatutnya.

Ketika cuaca baik, dia biasanya akan berada di platform kapal bagi memantau aktiviti yang dijalankan di sepanjang laluan pantai.

Tugasnya termasuk memantau aktiviti pencemaran alam sekitar dan mengawasi aktiviti haram seperti penyeludupan, lanun dan pemerdagangan, selain perlu menyertai operasi mencari dan menyelamat serta bantuan kemanusiaan dan bencana.

Pengawal pantai Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan maritim, mereka juga beroperasi dengan bot-bot kecil bagi mengawasi kawasan pesisiran pantai, serta tugas-tugas melarang.

Setiap kapal peronda dilengkapi dengan pesawat udara tanpa pemandu yang mampu bergerak sejauh 800km, senjata api beradar Aselsan SMASH 300mm dan dua enjin diesel MTU 12V4000 M73.

Kapal Peronda Sri Aman adalah salah satu dari enam aset APMM dalam negara.

Dengan senjata jarak sederhana dan keupayaan kapal mencapai kelajuan sehingga 12 knot bagi kira-kira 2,000 batu nautika, pengawal pantai menghabiskan masa selama beberapa tahun untuk melindungi wilayah maritim Sarawak daripada pencerobohan dan aktiviti jenayah.

Salim berkata, kapal peronda luar pesisir yang dilengkapi senjata jarak pertengahan menjadikan pasukan keselamatan itu mampu menghadapi ancaman “besar” seperti aktiviti jenayah penangkapan ikan secara haram dan penyeludupan.

Katanya pengawal pantai juga mungkin perlu berdepan dengan kapal dari China walaupun kapal pengawal pantai China bersaiz “lebih besar”.

Kapal peronda Sri Aman di mana Salim bertugas dibeli kerajaan pada 2017 berikutan peningkatan jumlah kapal seumpama itu memasuki perairan Malaysia di Laut China Selatan berdekatan dengan Sarawak.

Namun, Salim percaya pertikaian geopolitik yang semakin meningkat ketika ini meningkatkan keperluan untuk Malaysia mendapatkan teknologi yang lebih canggih bagi pasukan pertahanan maritimnya, terutama dalam menangani masalah militan dan kumpulan bersenjata yang sering menceroboh masuk ke Sabah melalui jalan laut.

Kesan Nusantara

Lebih jauh ke selatan, negara jiran Indonesia sudah meningkatkan pertahanan udaranya.

Indonesia, salah satu daripada negara Asia yang menyatakan kebimbangan berhubung pakatan Aukus antara Australia, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), minggu lalu menerima enam jet pejuang Rafale dari Perancis sebahagian daripada 42 pesawat yang ditempahnya.

Pemodenan tentera udara Indonesia juga merupakan sebahagian daripada rancangan negara itu untuk keselamatan kawasan sempadannya, termasuk di Nusantara, ibu negara barunya yang terletak di Kalimantan Timur.

Pengawal pantai Salim Bujang.

Penganalisis keselamatan serantau yang bercakap kepada MalaysiaNow berkata Sabah dan Sarawak harus mempertimbangkan untuk turut mencontohi langkah negara itu, memandangkan tanah sempadan yang dikongsi bersama Indonesia.

Pakar anti keganasan Ahmad El-Muhammadi berkata langkah Indonesia untuk mendapatkan aset ketenteraan baru merupakan petunjuk kepada perubahan suasana geopolitik serantau, memetik pendekatan China yang disifatkannya mahu “menunjukkan kekuatan” di rantau Asia Tenggara.

Merujuk kepada peristiwa pencerobohan China di ruang udara Malaysia baru-baru ini, beliau berkata Indonesia mengambil “pendekatan proaktif” dengan mengukuhkan sistem pertahanannya.

“Malaysia juga mungkin boleh melakukan perkara yang sama,” katanya, sambil menambah negara masih mampu menghadapi cabaran yang di wilayahnya.

“Belanjawan pertahanan pada 2021 meningkat sebanyak 1.8% berbanding tahun sebelumnya iaitu kira-kira AS$3.84 bilion,” katanya.

“Ini menunjukkan Malaysia bersedia untuk menghadapi cabaran sedemikian.”

Seorang penganalisis keselamatan serantau dari Universiti Malaysia Sabah Lai Yew Meng turut bersetuju dengan Ahmad, mengatakan pemerolehan jet pejuang Rafale oleh Indonesia sememangnya sudah dijangka.

Ketika pertahanan Malaysia mampu menangani ancaman luar ketika ini, namun situasi geopolitik mungkin memerlukan negara menaik taraf kelengkapan pertahanannya.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau menyifatkan langkah Indonesia itu sebagai “misi” untuk mengukuhkan pertahanan dan memastikan keselamatan sempadan negaranya ketika ketidaktentuan geopolitik timbul di rantau ini berikutan ketegangan antara AS dan China yang semakin meningkat di Laut China Selatan.

“Malaysia mempunyai rancangan pemodenan tentera udara yang sama di mana cadangan pengambilalihan pesawat pejuang sedemikian telah dibincangkan sejak sedekad lalu,” katanya merujuk kepada kertas putih pertahanan yang dibentangkan pada 2019.

Lai berkata beberapa kelewatan pemerolehan pesawat itu turut dijangka berlaku memandangkan beberapa cabaran terpaksa dihadapi negara sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata ketegangan yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini akan menjadikan keperluan meningkatkan keupayaan pertahanan negara lebih mendesak bagi pelaksanaan rancangan pembaharuan itu.

“Pemodenan angkatan tentera negara mana-mana negara Asean juga boleh menyumbang kepada pengukuhan pertahanan secara kolektif dalam Asean,” tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.