- Iklan -
Berita

EP Borneo menang anugerah syarikat pembuatan mesra alam terbaik Asia Tenggara

Syarikat yang menumpukan produk dan perkhidmatan mesra alam itu menerima anugerah daripada majalah perniagaan Australia.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengasas EP Borneo Hayden Clark (kiri) dan rakan kongsi Aurelia Harumal bersama trofi anugerah APAC Business Awards. Syarikat itu memenangi syarikat pembuatan mesra alam sekitar terbaik bagi 2021.
Pengasas EP Borneo Hayden Clark (kiri) dan rakan kongsi Aurelia Harumal bersama trofi anugerah APAC Business Awards. Syarikat itu memenangi syarikat pembuatan mesra alam sekitar terbaik bagi 2021.

EP Borneo Sdn Bhd yang terkenal menyediakan khidmat penyelesaian kerja-kerja kalis air mesra alam sekitar, pengendalian bahan tambahan binaan selain giat menjalankan projek bersama pemuliharaan warisan dunia memenangi anugerah syarikat pembuatan mesra alam sekitar terbaik Asia Tenggara oleh majalah Australia APAC Insider.

Beroperasi di pelbagai negara, termasuk Australia, syarikat yang ditubuhkan pada 2005 itu memenangi anugerah Syarikat Pembuatan Mesra Alam Sekitar Terbaik Asia Tenggara 2021.

Dalam sebuah kenyataan, Pengasas EP Borneo Hayden Clark berkata beliau  percaya anugerah tersebut menunjukkan kualiti produk, sistem dan perkhidmatan yang ditawarkannya.

“EP Borneo telah bekerja dengan para pemilik rumah, syarikat SME, korporat multinasional dan jabatan kerajaan di banyak tempat, dari Timur Tengah hingga Indonesia” kata rakan niaga EP Borneo, Aurelia Harumal.

Menurut Harumal, bahan-bahan yang digunakan dalam produk EP telah disahkan 100% terbiogradasi oleh USDA dan piawaian Kesatuan Eropah (EU) dan semua pertubuhan alam sekitar sedunia.

Katanya, selain mempunyai kesan negatif sifar ke atas laluan air dan laut produk syarikat itu tidak mempunyai impak terhadap kehidupan tumbuhan dan tidak meninggalkan bahan sampingan buruk yang wujud bertahun-tahun lamanya.

“Semua produk EP adalah berasaskan air, dengan kebanyakannya dibentuk menggunakan air hujan yang dikumpul melalui tangki kami. Produk EP juga tidak digunakan untuk ujian ke atas haiwan,” tambahnya.

Menurut Harumal EP Borneo berusaha untuk memberikan penyelesaian mesra alam kepada industri yang sering dikaitkan dengan kerosakan alam sekitar.

“Memandangkan Asia Tenggara adalah pasaran dunia yang sedang pesat membangun, keperluan bagi penyelesaian mesra alam sekitar dan pendidikan adalah amat penting bagi planet kita.”

“Ketika bahan kimia sentiasa menyumbang kepada bencana alam sekitar, industri berat seperti pembinaan, minyak dan gas luar pesisir, malah pemilik rumah perlu mengubah minda untuk menyelamatkan planet ini,” katanya lagi.

Pernah bekerjasama dengan syarikat-syarikat besar dunia seperti Petronas, Saudi Aramco, Mahindra, BHP, Shangrila Group dan Sim Leisure Group, EP Borneo juga turut terlibat dalam projek-projek arkitek yang memenangi anugerah termasuk pemenang Escape Pulau Pinang yang menerima anugerah Guinness World Records.