- Iklan -
Berita

Penerima dos penggalak yang menjadi kontak rapat asimptomatik tidak lagi perlu kuarantin

SOP baru itu akan berkuat kuasa pada 1 Mac.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Populasi Melayu adalah penerima dos penggalak paling rendah setakat ini menurut liputan dos penggalak mengikut kaum utama di Malaysia.
Populasi Melayu adalah penerima dos penggalak paling rendah setakat ini menurut liputan dos penggalak mengikut kaum utama di Malaysia.

Individu berumur 18 tahun ke atas yang menjadi kontak rapat kepada kes positif Covid-19 yang menerima dos penggalak dan tidak bergejala pada hari pertama, tidak perlu menjalani kuarantin bermula 1 Mac depan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata prosedur baru itu diperkenalkan berdasarkan penilaian risiko sebagai satu langkah ke arah endemik.

Namun begitu, beliau berkata kontak rapat yang tidak perlu menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO), perlu melakukan ujian pantas antigen (RTK) kendiri pada hari pertama dan ketiga dari tarikh akhir pendedahan kepada kes positif Covid-19.

Katanya, sekiranya keputusan positif, individu perlu melaporkan di aplikasi MySejahtera dan menjalani kuarantin, dan jika negatif pada hari pertama dan ketiga individu tersebut boleh meneruskan urusan seperti biasa.

“Ini adalah satu pendekatan melalui penilaian risiko dari kementerian kesihatan (KKM). Sekiranya tidak gejala kemungkinan ‘viral load’ (bebas virus) itu tinggi,” katanya pada sidang media perkembangan situasi Covid-19 hari ini.

Khairy berkata KKM melihat kepada data daripada varian lain, dan mendapati beban virus akan menurun terhadap individu yang lengkap vaksin dan kemungkinan beban virus akan turun untuk mereka yang mendapat dos penggalak pada gelombang Omicron.

Beliau berkata bagi individu kontak rapat yang lengkap vaksinasi tetapi belum mendapat dos penggalak, tempoh kuarantin kekal pada lima hari.

Menurutnya KKM mendapati individu yang positif atau dijangkiti kes indeks gelombang Omicron akan menunjukkan gejala pada hari ketiga.

Khairy berkata prosedur baru itu diperkenalkan pada waktu ini dalam pengurusan pandemik ekoran negara mencapai liputan vaksinasi yang tinggi dan liputan dos penggalak yang semakin meningkat.

Katanya individu yang menjadi kontak rapat akan merima borang penilaian kendiri iaitu peralatan penilaian (HAT)di aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata soalan akan ditanya menerusi aplikasi MySejahtera sama ada individu itu bergejala dan jika tidak bergejala, perintah pengawasan dan pemerhatian di Rumah (HSO) tidak akan diberikan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.