- Iklan -
Berita

PRN Johor cerminkan corak pengundian golongan muda pada PRU15, kata penganalisis

PRN Johor akan menyaksikan penyertaan pengundi kali pertama semuda usia 18 tahun.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pengundi beratur menunggu giliran membuang undi pada PRN Melaka tahun lalu. PRN Johor merupakan PRN keempat diadakan sejak pandemik melanda negara pada 2020.
Pengundi beratur menunggu giliran membuang undi pada PRN Melaka tahun lalu. PRN Johor merupakan PRN keempat diadakan sejak pandemik melanda negara pada 2020.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang yang bakal menyaksikan penyertaan Undi 18 buat julung kalinya, dijangka akan mencerminkan corak pengundian golongan muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis.

Mereka berkata, penyertaan Undi 18 pada PRN Johor akan membantu parti-parti politik merangka strategi bagi menarik undi dari golongan tersebut pada pilihan raya seterusnya.

Penganalisis politik dari University of Tasmania, Australia James Chin, berkata data undi yang diperoleh menerusi PRN Johor amat penting untuk mengenal pasti corak pengundian secara menyeluruh bagi meramalkan keputusan PRU15.

Katanya, keputusan PRN Johor juga akan dinanti-nantikan ramai untuk mengetahui jenis momentum parti-parti politik menuju ke PRU15.

“Apa yang paling penting untuk PRN kali ini adalah kita bakal saksikan penyertaan banyak parti baru seperti Muda, Pejuang dan kemungkinan juga Warisan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Justeru ini akan menjadi medan terbaik untuk lihat sejauh mana pencapaian atau pengaruh setiap parti.”

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh PRN Johor bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut SPR, di Johor terdapat hampir 2.59 juta pengundi berdaftar merangkumi 2.57 juta pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan mereka ,11,576 anggota polis bersama pasangan dan 376 pengundi luar negara.

Sementara itu, ditanya sama ada pengundi muda akan mudah tertarik dengan parti Muda, Ahmad Atory Hussain, penganalisis politik dari USM, tidak merasakan begitu memandangkan golongan ini sangat sukar diramal.

Katanya, ia kerana golongan muda tidak mempunyai “kesetiaan” terhadap mana-mana parti dan keadaan ini boleh menyebabkan peralihan undi pada bila-bila masa.

“Tambahan pula Muda tiada rekod bertanding dalam pilihan raya, jadi tidak mustahil sekiranya pengundi ragu-ragu nak pilih mereka,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Oleh itu, manifesto yang bakal dibentangkan setiap parti politik akan memainkan peranan penting dalam menarik perhatian pengundi muda.”

Mengulas mengenai jangkaan PRN Johor, Atory berkata, sekiranya situasi yang sama berlaku seperti pada PRN Melaka, maka Barisan Nasional (BN) akan mempunyai kelebihan tertinggi.

PRN Melaka yang berlangsung pada November tahun lalu menyaksikan peratusan undi sebanyak 65.85% atau 326,068 daripada 495,195 pengundi.

Jumlah itu adalah lebih rendah daripada jangkaan SPR yang meramalkan 70% keluar mengundi, manakala peratusan keluar mengundi pada PRU14 pula adalah 80%.

Keadaan ini menyaksikan BN berjaya menawan 21 dari 28 kerusi DUN Melaka.

“Jika peratusan undi rendah, ia akan beri kelebihan kepada BN memandangkan sokongan akar umbi mereka paling ramai,” kata Atory.

“Pengundi luar dari negeri lain atau Singapura pula dijangka tidak pulang mengundi. Sudah tentu BN akan gunakan kesempatan ini.”

Sementara itu, penganalisis politik dari UiTM, Mujibu Abd Muis, berkata sekiranya BN memenangi PRN Johor, ia pastinya akan memberi tekanan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan PRU15 dengan segera.

“PRN ini ibarat sesi ‘pemanas badan’ sebelum PRU. Apabila satu-satu negeri ditawan BN, ia sekali gus menguatkan lagi kedudukan politiknya di negara.

“Kemenangan di PRN bukan sahaja akan memberi kekuatan kepada jentera pilihan raya BN, malah ia juga akan menyumbang kemenangan psikologi dan menunjukkan kononnya BN masih kuat di mata rakyat,” katanya.