- Iklan -
Berita

Hampir 9,000 petugas kesihatan positif Covid-19 tahun ini

Jumlah itu meningkat dari hanya 284 kes pada minggu pertama tahun ini kepada lebih 3,000 kes pada minggu keenam 2022.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan lengkap berpakaian PPE duduk bagi melepaskan penat sewaktu bertugas. Gambar: Bernama
Petugas kesihatan lengkap berpakaian PPE duduk bagi melepaskan penat sewaktu bertugas. Gambar: Bernama

Sehingga kini seramai 8,940 petugas penjagaan kesihatan (HCW) di negara ini telah dijangkiti Covid-19 tahun ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah

Dalam hantaran di Facebooknya hari ini, beliau berkata jumlah itu meningkat dari 284 kes pada minggu pertama tahun ini (Minggu 1/2022) kepada 3,343 kes pada minggu keenam (Minggu 6/2022).

Dr Noor Hisham berkata seramai 5,711 HCW (kes aktif) tidak dapat bekerja selepas mereka diuji positif Covid-19, makanala 3,119 tidak hadir selepas menjadi kontak rapat, yang merupakan kira-kira 3.1% daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja kementerian kesihatan (KKM).

Sementara 3,229 HCW yang positif Covid-19 telah melengkapkan tempoh pengasingan mereka, dan kini telahpun kembali bekerja.

“Pada ketika ini 80.3% di Malaysia telah menerima dos vaksin penggalak. Secara amnya, pada masa ini 93.3% daripada keseluruhan pesakit berada di bawah pengasingan di rumah dengan tindakan susulan dilakukan secara digital,” katanya.

Oleh sebab itu Dr Noor Hisham berkata MOH telah mengambil tindakan bagi memastikan gangguan minima kepada perkhidmatan dan penjagaan kepada pesakit Covid-19 dan bukan pesakit Covid-19.

Tambah beliau langkah-langkah perlu dan polisi adaptif telah diperkenalkan berdasarkan kepada data semasa yang ada dan amalan di negara lain, di mana KKM juga bekerjasama dengan fasiliti kesihatan swasta bagi membantu menguruskan pesakit Covid-19.

Sementara itu dalam hantaran berasingan, beliau berkata sejumlah 2,258,521 atau 67.7% warga emas telah diberi dos penggalak dari 3,335,309 warga emas yang telah lengkap dua dos vaksin, sehingga 7 Februari.

Menurutnya, sebanyak 1,073 pusat jagaan warga emas berdaftar dan tidak berdaftar telah dilawat, serta seramai 19,646 warga emas dan 10,173 pekerja telah diberi lengkap dua dos vaksin.