- Iklan -
Berita

Cabaran misi sulung pelajar Malaysia lancar roket di Amerika Syarikat

Wau Rocketry adalah pasukan pertama dari Malaysia yang menyertai Spaceport America Cup yang akan diadakan di AS pada Jun depan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Ahli pasukan Wau Rocketry melihat diagram roket rekaan mereka, ia akan dihantar untuk menyertai Spaceport America Cup pada Jun depan.
Ahli pasukan Wau Rocketry melihat diagram roket rekaan mereka, ia akan dihantar untuk menyertai Spaceport America Cup pada Jun depan.

Bangunan berwarna merah gelap itu kelihatan sunyi.

Tiada pergerakan dapat dikesan di sekeliling fakulti aeroangkasa, Universiti Sains Malaysia.

Namun di dalam sebuah bilik kecil berhawa dingin, A Vanmitha tekun melihat skrin komputer yang terpampang gambar sebuah roket.

Dikelilingi beberapa rakan sepasukan, gadis itu rancak berbincang mengenai perincian roket tersebut.

Di makmal bersebelahan bilik itu, kelihatan beberapa orang lelaki sedang memeriksa bahagian roket itu yang diperbuat daripada gentian kaca (fiberglass).

Ia masih dalam peringkat pembangunan dan belum terbentuk sepenuhnya.

Ketua Wau Rocketry A Vanmitha bercakap ketika temu bual bersama MalaysiaNow.

Mereka merupakan sebahagian daripada 12 ahli pasukan Wau Rocketry dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang akan bertanding dalam Spaceport America Cup pada bulan Jun ini.

Ia merupakan pertandingan roket pelajar terbesar dunia.

Vanmitha yang merupakan ketua pasukan Wau Rocketry berkata, mereka merupakan pasukan Malaysia yang pertama dapat memasuki pertandingan tersebut.

“Kami juga satu-satunya pasukan mewakili Malaysia. Di Asia Tenggara, dua lagi negara yang menghantar wakil ialah Singapura dan Thailand,” katanya kepada MalaysiaNow.

Bakal berlangsung di New Mexico, Amerika Syarikat (AS), lebih 40 negara menyertai Spaceport America Cup tahun ini membabitkan 1,700 siswazah.

Vanmitha yang merupakan pelajar semester kelima fakulti aeroangkasa USM memberitahu, universiti itu mendapat tempat 92 daripada 151 pasukan yang layak.

“Saya memutuskan untuk membentuk pasukan ini selepas mendapat tahu pertandingan ini diadakan secara fizikal di AS. Pada tahun lepas mereka hanya adakan secara maya.

“Semasa peringkat kelayakan, roket dinilai 100% berdasarkan maklumat dan simulasi dalam perisian OpenRocket,” katanya.

Sebuah papan putih dipenuhi dengan perancangan dan kiraan di belakang salah seorang ahli pasukan Wau Rocketry yang sedang bekerja di makmal mereka.

Menurut laman sesawang pertandingan itu, ia sudah diadakan sejak 2017.

Dua kategori umum dipertandingkan iaitu pelancaran setinggi 10,000 kaki dan 30,000 kaki.

Daripada dua kategori ini, pasukan boleh memilih untuk menyertai sub kategori “commercial off the shelf (cots)” atau “student research and development (SAD)”.

Semasa pertandingan, roket akan dilancarkan di platform yang disediakan.

Penilaian setiap penyertaan akan dibuat berdasarkan tiga kriteria, iaitu altitude maksimum, mendapatkan semula bahagian roket yang jatuh (recovery), dan juga data mesti dihantar secara langsung kepada stesen di lapangan.

Pasukan Wau Rocketry bakal menyertai kategori 10,000 kaki cots.

Menceritakan tentang roket pasukannya, Vanmitha berkata roket bernama “Hebat” itu akan dibina sepanjang 2.87 meter dan seberat 22.67 kilogram.

Ia akan menggunakan motor roket berbahan bakar “solid propellant”, model Aerotech M1850.

Roket Hebat akan membawa satu satelit nano ciptaan USM sendiri untuk dilancarkan pada ketinggian 900 kaki.

“Satelit nano ini akan mengumpul data misi, seperti tekanan udara, persekitaran, sinaran ultraviolet dan kesan pencemaran di kawasan New Mexico, sebelum dijangka mendarat menggguna sistem posisi sejagat (GPS),” katanya.

Ahli pasukan memeriksa helaian resin di makmal mereka, ia akan digunakan untuk membina roket rekaan mereka.

Lebih menarik lagi, Vanmitha berkata satelit itu akan dibawa turun menggunakan dron, dan bukannya payung terjun seperti kaedah konvensional.

Cabarannya, menurut Vanmitha, ialah apabila mereka tidak boleh membuat ujian pelancaran di Malaysia.

Ia merupakan syarat yang dikenakan penganjur.

“Kami hanya akan membuat pelancaran sekali sahaja, iaitu semasa pertandingan. Ia seperti do-or-die untuk kami,” katanya.

Rocket tersebut akan siap dipasang di AS, memandangkan ada beberapa bahagian yang hanya boleh didapati di negara itu.

Wau Rocketry menerima bimbingan daripada dua mentor iaitu ketua pegawai operasi SpaceIn, Ahmad Tamimi Ahmad Termizi dan Julian Chee Yie Jian yang, pelajar kejuruteraan aeroangkasa Wichita State University.

Dua pensyarah, Norilmi Amilia Ismail dan Chang Wei Shyang turut menjadi penasihat kepada pasukan itu.

Pelajar dari fakulti aeroangkasa USM bergambar bersama.

Tamimi berkata, kemasukan Wau Rocketry diharap dapat menarik minat orang ramai dan kerajaan untuk melihat potensi industri roket di Malaysia.

“Kita ada banyak potensi, sebab negara kita terletak di Khatulistiwa. Ini peluang untuk Malaysia jadi tapak pelancaran roket di darat mahupun di laut.

“Dari segi kos, teknologi dan kepakaran, kita boleh buat. Cumanya kita perlu komitmen tinggi daripada kerajaan,” katanya.

Katanya, Malaysia agak ketinggalan berbanding negara jiran.

Ia meskipun industri aeroangkasa di Malaysia bermula lebih awal.

Industri roket, katanya memerlukan permintaan industri untuk terus berkembang, sekali gus mengehadkan penglibatan syarikat tempatan.

“Penyelidikan teknologi roket buatan tempatan sudah dijalankan penyelidikan sejak 1980-an lagi, namun kurang sokongan daripada kerajaan.

“Sebab itu kemajuan kita sangat perlahan,” katanya.

Dalam pada itu, Vanmitha berkata pasukan itu berjaya mengumpul RM150,000 yang diperlukan untuk setiap perbelanjaan mereka di AS kelak.