- Iklan -
Berita

KPDNHEP tumpas aktiviti penyelewengan 26,459 liter diesel

Sindiket itu dipercayai menjual bahan api bersubsidi itu kepada syarikat perindustrian di seluruh negara.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Hasil serbuan 20 pegawai KPDNHEP mendapati dua lori lima tan berkanvas yang diubah suai tangkinya sedang diisi minyak diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Kuala Langat, Selangor semalam.
Hasil serbuan 20 pegawai KPDNHEP mendapati dua lori lima tan berkanvas yang diubah suai tangkinya sedang diisi minyak diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Kuala Langat, Selangor semalam.

Kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi sebanyak 26,459 liter berjumlah RM56,886 di sebuah stesen minyak di Jalan Klang Banting, Kuala Langat, Selangor, 10 Februari lepas.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan (Operasi) KPDNHEP Shamsul Nizam Khalil berkata hasil serbuan dijalankan 20 pegawai kementerian itu mendapati dua lori lima tan berkanvas yang telah diubah suai tangkinya sedang diisi minyak diesel bersubsidi di stesen minyak itu kira-kira pukul 2.50 petang.

“Selain itu, hasil serbuan ke atas premis disyaki stor simpanan lima kilometer dari stesen minyak itu pula mendapati aktiviti pemindahan minyak diesel sedang dilakukan menerusi dua lori lima tan berkanvas yang lain.

“Kita telah jalankan risikan sejak sebulan lepas dan aktiviti ini dipercayai daripada sindiket yang sama dengan tujuan penjualan atau penghantaran ke lokasi lain yang disasarkan kepada syarikat perindustrian di seluruh negara,” katanya pada sidang media hari ini.

Shamsul Nizam berkata selain minyak diesel, KPDNHEP turut menyita sebuah lori tangki, lori lima tan (empat), kompresor (lima), meter aliran, dokumen dan resit dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM215,000.

Susulan itu, beliau berkata lima lelaki warga tempatan dan seorang penjaga stor berumur lingkungan 25 hingga 50 tahun termasuk individu yang mengaku sebagai pemilik stesen minyak berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut dari stesen minyak ke tempat penyimpanan sehingga peringkat pembeli.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3 juta,” katanya.

Beliau berkata syarikat terlibat juga akan diambil tindakan penggantungan sementara lesen barang kawalan sehingga selesai siasatan selain turut disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi, katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram serta tindakan tegas akan dikenakan kepada individu terlibat.