- Iklan -
Berita

Kerajaan tidak bezakan individu langgar SOP, kata PM

Menurut Ismail, tidak ada konsep orang atas kayangan tidak kena kompaun dan orang bawah sahaja kena kompaun.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama

Kerajaan tidak membezakan mana-mana individu yang melakukan apa juga kesalahan termasuk melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Tidak ada konsep orang atas kayangan tidak kena kompaun dan orang bawah sahaja kena kompaun. Sesiapa yang langgar SOP akan dikenakan kompaun termasuk menteri pertahanan dan lain-lain, tidak kira siapa,” katanya kepada media selepas merasmikan Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 hari ini.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai kompaun yang dikenakan kementerian kesihatan (KKM) kepada penganjur Majlis Pelancaran Briged MIC serta beberapa pemimpin kanan kerajaan termasuk Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein kerana melanggar SOP Covid-19, semalam.

Menjawab desakan pemimpin DAP yang mahu Hishammuddin meletakkan jawatan, Ismail berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Langgar SOP bukan jenayah, tiada kena mengena dengan jenayah dan KKM telah keluarkan kompaun dan kalau sesiapa kena kompaun letak jawatan, saya rasa tiada orang boleh bekerja,” kata perdana menteri sambil tidak menafikan bahawa SOP penting untuk dipatuhi.

“Pegawai kerajaan, kakitangan kerajaan ramai sudah kena kompaun jadi semua kena letak jawatan ke?, jadi tak perlu. Yang penting tindakan diambil, maknanya kerajaan tidak membeza-bezakan individu yang melakukan kesalahan, mereka terbabit boleh jadi menteri, timbalan menteri, ketua jabatan…boleh jadi sesiapa sahaja,” katanya.