- Iklan -
Berita

SPRM siasat 5 pegawai Mara Corp berkait isu salah guna kuasa hari ini

SPRM berkata lima individu berkenaan merupakan 17 individu yang telah dikenal pasti bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya.
Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya.

Lima pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang dikaitkan dengan isu integriti dan salah guna kuasa, membabitkan anak syarikat agensi itu, MARA Corporation (Mara Corp) akan dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Putrajaya hari ini.

Sumber SPRM berkata kelima-lima individu berkenaan merupakan 17 individu yang telah dikenal pasti bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Selain lima orang pegawai Mara berkenaan, turut akan dipanggil untuk dirakam keterangan adalah empat lagi anggota lembaga pengarah Mara Corp, empat orang pegawai Mara, tiga pegawai bank dan seorang pegawai daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

“Setakat hari ini, seramai 14 saksi telah dirakam keterangan mereka membabitkan seramai empat orang ahli lembaga pengarah Mara Corp, tujuh individu daripada pengurusan Mara Corp, dua orang pegawai Mara dan seorang kakitangan syarikat setiausaha korporat,” kata sumber itu kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, sumber SPRM memberitahu dalam serbuan SPRM ke ibu pejabat Mara dan Mara Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat pada Isnin lepas, SPRM telah merampas antaranya dokumen terdiri daripada kertas cadangan dan minit mesyuarat lembaga pengarah, dokumen kewangan dan senarai gaji serta dokumen membabitkan sumber manusia.

Pada Ahad lepas, kelima-lima individu yang dikaitkan dengan salah laku berkenaan telah membuat laporan polis di ibu pejabat Polis Dang Wangi dan menafikan pembabitan mereka dalam isu berkenaan.

Sabtu lepas, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.