- Iklan -
Berita

Pelajar IPT dibenar masuk ke kampus berperingkat mulai 1 Mac

Pelajar dan kakitangan yang tidak lengkap vaksinasi perlu membuat ujian RT-PCR dan berkeputusan negatif tiga hari sebelum masuk ke kampus.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pelajar Universiti Malaya berjalan di hadapan papan tanda universiti dengan memakai pelitup muka.
Pelajar Universiti Malaya berjalan di hadapan papan tanda universiti dengan memakai pelitup muka.

Kerajaan membenarkan kemasukan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di bawah kementerian pengajian tinggi (KPT) ke kampus secara berperingkat mulai 1 Mac ini, dengan jumlah kemasukan pelajar 70 hingga 100% mengikut kapasiti IPT masing-masing.

Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat menteri kuartet semalam, yang memperhalusi cadangan daripada KPT berhubung kemasukan pelajar ke IPT, iaitu universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan IPT swasta,

“Antara prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KPT dan kementerian kesihatan (KKM) adalah pelajar dan staf yang lengkap dan tidak lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke kampus, namun mereka yang tidak lengkap vaksinasi perlu membuat ujian RT-PCR dan berkeputusan negatif tiga hari sebelum masuk ke kampus.

“Ujian pengesanan Covid-19 menggunakan kaedah RTK-Ag perlu dilakukan seminggu sekali bagi mereka yang tidak divaksinasi lengkap, mengikut Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan yang dikeluarkan oleh KKM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi pelajar antarabangsa sedia ada dan baru, Hishammuddin berkata hanya mereka yang lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke Malaysia serta wajib menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari atau lima hari sekiranya telah mendapat dos penggalak.

Selain itu, katanya IPT perlu mempunyai kapasiti untuk menampung bilangan pelajar yang hadir secara fizikal dan sentiasa mematuhi SOP pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang ketat, manakala PdP secara hibrid dan/atau secara dalam talian juga dibenarkan kepada IPT.

Beliau berkata semua aktiviti sukan dan riadah juga perlu mematuhi SOP dikeluarkan oleh KKM dan pelajar yang pulang ke kampus wajib terus mematuhi SOP umum seperti memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan diri.

“Dalam setiap kelonggaran diberikan kerajaan, aspek keselamatan dan kesihatan rakyat termasuklah pelajar IPT tetap menjadi keutamaan. Sehubungan itu, kerajaan menyeru kepada semua pihak termasuk pentadbiran IPT, staf dan pelajar agar mematuhi SOP ditetapkan dengan penuh berdisiplin dan bertanggungjawab,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Bilik Gerakan Covid-19 KPT di talian 03-8870 6777/ 6949 / 6623 / 6628, layari laman web IPT atau terus hubungi Pegawai Penyelaras di IPT masing-masing.