- Iklan -
Berita

Jurugambar kumpul lebih 2,000 spesies flora dengan usaha sendiri

Bermula dengan hanya mengambil gambar, Suzairi Zakaria kemudian mengumpul tumbuh-tumbuhan liar di rumahnya selepas menyaksikan kehilangan biodiversiti akibat pembalakan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Suzairi Zakaria menyelenggara tumbuh-tumbuhan hutan yang ditanah di rumahnya.
Suzairi Zakaria menyelenggara tumbuh-tumbuhan hutan yang ditanah di rumahnya.

Sejak 13 tahun lalu, Suzairi Zakaria mengambil gambar Orang Asli dan landskap hutan di Terengganu dan Kelantan.

Kerjaya sebagai jurugambar bebas membolehkan anak jati Terengganu itu menumpukan minatnya dalam usaha mendokumentasi masyarakat Orang Asli.

Beberapa tahun sebelum itu, dia mendokumentasi landskap dan vegetasi kawasan tanah bencah (wetland) Setiu di Terengganu.

Namun ketika dia ingin pergi ke kawasan itu semula untuk mengambil gambar, landskap Setiu Wetland berubah 180 darjah apabila ia diteroka untuk tujuan pertanian dan perumahan.

Dari situ, Suzairi atau lebih dikenali dengan panggilan Dome mula terdetik untuk mengumpulkan khazanah alam yang dilihatnya.

Suzairi bersama Orang Asli Bateq, beliau sering berkunjung ke penempatan Orang Asli bagi mendokumentasi kehidupan mereka.

Sedikit demi sedikit, dia mengumpul pelbagai jenis flora yang diancam penerokaan.

“Saya kumpul di kawasan berlaku pembalakan, terutamanya di Kenyir.

“Masa awal-awal masuk hutan, ada kawan dari jabatan perhutanan negeri membawa saya mengumpul spesies orkid,” katanya kepada MalaysiaNow.

Dome berkata ada spesies yang dikumpulnya merupakan status terancam, dan ada juga yang masih belum terancam.

Namun baginya, spesies yang tidak terancam lama-kelamaan akan berdepan kepupusan sekiranya tiada tindakan dilakukan.

Minatnya mengumpul spesies flora itu membawa kepada penemuan spesies baru antara tahun 2015 hingga 2020.

Suzairi Zakaria menyelenggarakan tumbuh-tumbuhan hutan di kediamannya. Kini, lebih kurang 2,500 spesies flora hutan dipulihara olehnya.

Tumbuhan itu termasuk orkid, periuk kera dan flora seakan kulat.

Satu daripada spesies orkid itu, Dendrobium mizanii diberikan nama sempena Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ia merupakan orkid bewarna kuning yang ditemui Dome di kawasan pergunungan.

Mengikut piawaian antarabangsa, semua spesies di dunia dinamakan dalam ejaan bahasa Latin.

Terdapat juga spesies yang dinamakan sempena nama timangannya.

Nepenthes domei merupakan satu spesies periuk kera yang diletakkan namanya, manakala Thismia domei merupakan tumbuhan seakan kulat dalam keluarga Thismiacae.

Satu spesies orkid di Guatemala di Amerika Tengah turut dinamakan bersempena namanya apabila penyelidik di negara itu mengikuti perkembangan Dome menerusi laman sosialnya.

Suzairi sering meredah hutan untuk meninjau kawasan-kawasan tumbuhan yang terancam akibat aktiviti pembalakan.

Ia merupakan penghargaan besar daripada komuniti botani antarabangsa terhadap usaha Dome.

Dia turut memberikan nama satu spesies Thismiaci bersempena ibunya, Thismia setimeriamae.

“Saya bekerjasama dengan institut seperti Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk mengkaji dan mendaftar spesies baru.

“Kemudian ada beberapa penyelidik luar negara akan mengesahkan penemuan baru itu,” katanya.

Spesimen spesies baru yang ditemuinya akan dihantar ke herbarium pusat-pusat penyelidikan UPM, FRIM dan Mardi untuk direkodkan.

Menceritakan pengalaman mencari flora, katanya dia kerap bertemu dengan gajah, selain pernah menjumpai tapak kaki harimau.

Suzairi memerhatikan spesies tumbuhan liar yang dikumpul dari hutan dan ditanam di rumahnya untuk pemuliharaan.

Dome tidak menerima dana mana-mana pihak.

Berkat usahanya sendiri, Dome mengumpul lebih 2,000 spesies flora di perkarangan rumah sendiri, dengan 200 daripadanya spesies orkid.

Rumahnya ditransformasi menjadi tapak konservasi “in-situ”.

“Saya guna wang sendiri, beribu juga habis untuk menyediakan kerangka besi, pasu dan baja organik.

“Tahun ini agak perlahan sedikit (usaha konservasi) kerana tiada dana,” katanya.

Dome memberitahu, cabaran yang paling besar ialah menjaga tumbuhan liar itu di rumahnya.

Suhu yang berbeza dengan keadaan di hutan menuntut penjagaan lebih rapi.

“Periuk kera di pergunungan boleh membesar sehingga sebesar botol mineral 1.5 liter, namun di rumah, saiznya menjadi kecil,” katanya.

Mengenai rancangan masa depannya, Dome mahu menyerahkan koleksi tumbuhannya kepada pusat konservasi flora akan tetapi tiada pusat sebegitu tersedia di Malaysia.