- Iklan -
Berita

Malaysia rekod kes demam denggi terendah dalam tempoh sedekad tahun lalu

Sebanyak 26,365 kes demam denggi direkodkan sepanjang 2021.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sukarelawan melakukan aktiviti nyahkuman dan semburan aedes sekitar flat PPR Pudu Ulu, Kuala Lumpur.
Sukarelawan melakukan aktiviti nyahkuman dan semburan aedes sekitar flat PPR Pudu Ulu, Kuala Lumpur.

Malaysia merekodkan sebanyak 26,365 kes demam denggi sepanjang 2021 iaitu penurunan sebanyak 70.8% berbanding 90,304 kes tahun sebelumnya (2020), kes terendah sejak sedekad lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh sama kematian disebabkan demam denggi juga menurun daripada 145 kematian pada 2020 kepada 20 kematian tahun lepas.

“Ini merupakan kali pertama kementerian kesihatan (KKM) merekodkan kes denggi dan kematian terendah sejak sedekad itu.

“Faktor utama penurunan kes denggi tersebut masih belum dapat ditentukan, namun begitu denggi kekal sebagai ancaman kesihatan awam di Malaysia ketika pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia bersempena sambutan Hari Penyakit Tropika Terabai (NTDs) Sedunia semalam (30 Januari).

Bagaimanapun katanya, berdasarkan data dan trend penyakit demam denggi sebelum ini, KKM mendapati terdapat lonjakan kes demam denggi pada 2010, 2015 dan 2019.

Wabak denggi di Malaysia dijangka akan mencatatkan peningkatan yang tinggi setiap empat hingga lima tahun kitaran.

“Oleh demikian, kes demam denggi dijangka akan meningkat semula pada 2024 atau 2025, dengan insiden dijangkakan lebih tinggi daripada jumlah kes dicatatkan pada 2019,” katanya.

Berkongsi kisah kejayaan kawalan denggi di negara ini, Dr Noor Hisham berkata, ia berfokus kepada langkah kesihatan awam terutama pengesanan awal dan pengurusan vektor memandangkan setakat ini belum ada mekanisme berkesan mengatasi virus denggi.

Antaranya mewartakan penyakit denggi di bawah undang-undang Malaysia sejak 1988, menambah baik kaedah pemakluman sistem dalam talian, iaitu e-Notifikasi dan eDengue, mengenal pasti sistem maklumat penjagaan kesihatan secara digital dan membangun sistem pemetaan risiko bagi memudahkan perancangan aktiviti kawalan vektor di lapangan.

Katanya lagi, dari aspek pengurusan vektor, Malaysia adalah negara kedua di dunia selepas Australia yang mengendalikan kawalan denggi dengan memanfaatkan kebaikan nyamuk Wolbachia sejak 2019 berikutan penemuan positif daripada kajian tempatan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata tidak seperti kebanyakan penyakit berjangkit yang lain, denggi tidak menpunyai rawatan khusus seperti antivirus.

“Walaupun pada masa ini terdapat vaksin denggi di pasaran, namun Malaysia tidak memenuhi kriteria yang telah disarankan oleh WHO yang menetapkan kadar seroprevalensi denggi sekurang-kurangnya 80 peratus pada usia sembilan tahun untuk dipertimbangkan di bawah program imunisasi kebangsaan.

“Selain itu, tiada alat domestik yang benar-benar berkesan untuk melindungi masyarakat semasa waktu puncak nyamuk Aedes menggigit, contohnya kelambu, vest dan sebagainya,” katanya.

Bagi perancangan masa depan, beliau berkata Bahagian Kawalan Penyakit telah bekerjasama dengan dua rakan kongsi antarabangsa untuk melaksanakan Sistem Amaran Awal, Amaran dan Tindak Balas (EWARS) dan Sistem Ramalan Denggi Berasaskan Satelit Model (DMOSS).

Katanya kerjasama ini bertujuan meneroka prospek untuk menggabungkan amaran awal dan ciri-ciri ramalan sistem pengawasan denggi kebangsaan bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan aktiviti pencegahan yang lebih intensif.

KKM juga menasihati orang ramai mencegah penularan denggi di peringkat isi rumah termasuk penghapusan tempat pembiakan nyamuk Aedes; perlindungan daripada gigitan nyamuk mengikut kapasiti individu dan mendapatkan rawatan awal sekiranya mengalami simptom demam denggi seperti demam, sakit otot dan sendi, sakit belakang dan ruam.