- Iklan -
Berita

Menjelaskan kegilaan terhadap NFT

NFT mendapat momentum pada 2020, namun apakah trend ini akan kekal lama masih tidak dapat ditentukan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
4 minit bacaan
Kongsi
Gambar yang diambil di London pada 30 Disember 2021, menunjukkan duit emas kripto yang disusun di sebelah skrin pasaran NFT (Non-Fungible Token). NFT merupakan token digital yang termeterai (minted) dalam teknologi blockchain. Gambar: AFP
Gambar yang diambil di London pada 30 Disember 2021, menunjukkan duit emas kripto yang disusun di sebelah skrin pasaran NFT (Non-Fungible Token). NFT merupakan token digital yang termeterai (minted) dalam teknologi blockchain. Gambar: AFP

Selama beberapa tahun, Mohd Faizal Rahmat menjual ilustrasi 3 dimensi (3D) yang dihasilkannya sebagai mata pencarian.

Penjualannya menerusi cara konvensional, iaitu memberikan pautan (link) kepada pembeli memuat turun hasil karyanya yang diingini.

Ada kalanya jualan itu memberangsangkan, namun ada juga masanya tiada siapa membeli karya Faizal.

Namun sejak dua bulan lepas, lelaki berusia 40-an itu berusaha mengumpul duit untuk belanja perjalanan menziarahi bapanya di Pulau Pinang.

“Sebagai orang kelainan upaya, perjalanan memang makan belanja tinggi. Jadi kawan saya di Facebook mencadangkan saya menjual karya di platform non-fungible tokens (NFT),” katanya kepada MalaysiaNow.

Faizal berkata pada awalnya sukar untuk menghadap konsep NFT, dan kini masih belajar meneroka platform yang ada.

Sehingga kini, Faizal berjaya menjual sembilan daripada 36 karya 3D yang dimuat naik di platform.

Menerusi platform pentas.io, Faizal menjual karyanya antara 0.07 ke 3.0 Binance (BNB).

1 BNB dianggarkan bernilai kira-kira RM2,000, bergantung kepada nilai semasa.

MalaysiaNow pernah melaporkan kisah Faizal dalam menyara dirinya menerusi ilustrasi Kesultanan Melayu Melaka yang dihasilkannya dalam 3D.

Selain Faizal beberapa artis tempatan turut berjaya melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menjual karya NFT mereka termasuk kepada selebriti terkenal luar negara.

Pelukis tempatan, M Visithra, berjaya menjual beberapa hasil seninya kepada Snoop Dogg, seorang penyanyi rap terkenal hujung tahun lalu.

Gelombang NFT yang sedang melanda dunia ibarat tarikan graviti yang menarik bakat-bakat seni untuk menggunakannya sebagai cara meraih wang.

Terbaru, penjualan gambar swafoto oleh warga Indonesia, Sultan Gustaf Al Ghozali baru-baru ini mengejutkan dunia apabila lelaki itu berjaya mengumpul sebanyak AS$1 juta.

Dia berjaya menjual 1,000 gambar swafotonya di OpenSea, platform antarabangsa terbesar untuk berdagang NFT.

Unik

Ringkasnya, NFT merupakan token digital yang termeterai (minted) dalam teknologi blockchain.

Ia boleh dilihat dalam lejar terbuka dan boleh disemak sesiapa sahaja, menjadikan token itu unik dan tiada salinan.

Ia seperti nombor siri yang dicetak dalam setiap not duit kertas.

Amanda Yeo, penyelidik badan pemikir EMIR Research berkata, NFT membolehkan hasil kerja digital menjadi aset yang boleh disahkan, dan boleh didagangkan menerusi blockchain.

“Setiap NFT mengandungi kod identifikasi yang unik dan metadata lain, seperti pihak yang memiliki dan menjual aset digital itu, menjadikannya lain daripada yang lain,” katanya kepada MalaysiaNow.

Selain itu, NFT mempunyai sijil digital yang mengekalkan hak pemilikan satu-satu aset.

Kebiasaannya, NFT boleh didapati dalam format GIF, Tweet, kad dagangan maya, gambar, ilustrasi, muzik dan hartanah maya.

Sebagai contoh, satu klip aksi bintang NBA, LeBron James terjual pada harga AS$208,000 (RM870,792) manakala tweet pertama Ketua Pegawai Eksekutif Twitter Jack Dorsey terjual sebagai NFT pada harga AS$2.9 juta (RM12.14 juta).

Karya paling mahal terjual ialah milik Mike Winkelmann, atau lebih dikenali sebagai Beeple. Dia menjual karya Everydays: the First 5000 Days pada harga AS$69.3 juta (RM290.12 juta).

Sejak diperkenalkan beberapa tahun lepas, ia mendapat momentum pada 2020.

Memetik laporan NonFungible.com dan L’Atelier BNP Paribas, Amanda berkata jumlah jualan NFT di Amerika Syarikat direkodkan sebanyak AS$250.85 juta (RM1.05 bilion) pada 2020, kenaikan hampir 300% daripada AS$62.86 juta (RM263.12 juta) pada 2019.

Pensyarah kanan seni bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Azari Mat Yasir berkata, tarikan utama NFT terletak kepada kemudahan orang awam mengakses koleksi NFT.

“Ia juga memudahkan pembelian dan penjualan menggunakan wang kripto, yang mana kita tak perlu risau tentang tukaran wang asing dan caj-caj tersembunyi,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Bagi mereka yang sudah banyak menjana pendapatan melalui perdagangan dan pelaburan kripto, mereka tak perlu membuat tukaran matawang, dan boleh terus membeli NFT secara langsung,” katanya yang turut menjual beberapa karya NFT.

Di Malaysia, platform NFT yang popular ialah pentas.io yang mana semua transaksi menggunakan kripto, khususnya Binance.

BNB boleh ditukar kepada ringgit sama ada melalui jualan langsung atau melalui platform pertukaran global.

Menerusi platform itu, pengkarya boleh berhubung secara terus dengan peminat dan pengumpul tanpa perlu menunggu pameran atau acara tertentu.

“Setiap minggu, mereka akan mengumumkan penghasilan karya baru, dan peminat akan menunggu di platform NFT untuk membeli karya tersebut.

“Setiap karya dijual antara RM20 hingga RM200, ada yang dijual setinggi RM2,000. Ia Cukup untuk menjana pendapatan tambahan kepada pengkarya Malaysia yang selama ini terpinggir dan jarang dapat pulangan yang berbaloi,” kata Azahari.

Azari bersama Faizal dan seorang lagi arkitek sedang menubuhkan Yayasan Architech NFT.

bertujuan membantu lebih ramai artis dan pengkarya tempatan untuk ke platform tersebut.

NFT platform sementara?

Persoalan timbul mengenai kelangsungan NFT sebagai platform yang bertahan lama ataupun sekadar satu trend yang bakal dilupakan.

Amanda berkata, harga NFT sangat tidak menentu berikutan nilainya yang bergantung kepada bekalan dan kesanggupan membayar.

Data daripada NonFungible.com menededahkan, purata harga aset NFT turun AS$64 daripada AS$3,932 in February to AS$1,426 lewat Mac 2021.

Faktor lain kelangsungan NFT, menurut Amanda, termasuklah yuran “perlombongan”, iaitu proses pengiraan komputer yang menelan jumlah tenaga yang banyak bagi mengesahkan setiap transaksi.

Selain itu isu-isu perundangan dan penyeliaan NFT masih kabur.

“Jika kita pertimbangkan harga dan kos transaksi NFT, masih belum jelas sama ada NFT boleh dianggap sebagai satu lagi gelembung tulip pada tahun mendatang.

“Covid-19 mempercepatkan proses digitalisasi apabila semakin ramai beralih arah kepada platform digital untuk mempromosikan barangan dan perkhidmatan mereka,” katanya yang merujuk kepada fenomena kenaikan mendadak harga bunga tulip di Belanda pada 1634 sebelum jatuh merudum pada 1637.

Bagi Azari yang mengakui masih bersikap berhati-hati dan skeptikal terhadap NFT, sementara karya itu masih “trending” pengkarya seperti Faizal wajar mengambil peluang mengaut keuntungan atau melonjakkan visibiliti masing-masing.