- Iklan -
Berita

Tiada apa disembunyikan, kata penasihat SPRM berhubung kenyataan mengenai Azam

Abu Zahar juga menyerahkan kepada budi bicara kerajaan dan Agong dalam menentukan kedudukannya sebagai pengerusi LPPR.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Abu Zahar Ujang.
Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Abu Zahar Ujang.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Malaysia (LPPR) hari ini berkata beliau tidak memiliki apa-apa untuk disembunyikan berhubung kenyataannya baru-baru ini yang mengatakan badan itu berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berhubung konflik kepentingan mengenai pembeliaan saham syarikat.

Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang turut mengatakan beliau sedia untuk disiasat oleh mana-mana organisasi mengenai kenyataan yang dikeluarkannya 5 Januari lalu berhubung Azam.

“Sekiranya kenyataan media 5 Januari 2022 saya menampilkan fahaman yang tidak dihasratkan seperti yang dinyatakan di atas, sehingga ke tahap ianya menjatuhkan nama baik SPRM secara keseluruhannya, yang mana sememangnya tidak dihasratkan, saya serahkan kepada budi bicara mutlak kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukan saya sebagai Pengerusi LPPR, yang mana adalah satu amanah yang saya laksanakan setakat ini, tanpa mengambil pihak.

“Saya semestinya akan akur dengan keputusan itu.”

Pada sidang media sebelum ini, Zahar berkata Azam tidak mempunyai sebarang konflik kepentingan dalam pembelian saham dari beberapa syarikat pada 2015.

Beliau berkata LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam dan memutuskan tidak ada siasatan lanjut berkenaan perkara itu.

“Pembelian dibuat di pasaran terbuka dan tiada percanggahan kepentingan dalam pembelian saham. Semua saham telah dipindahkan kepada adiknya, Nasir Baki,” kata Zahar.

Zahar berkata LPPR akan merujuk isu tersebut kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob susulan gesaan pimpinan pembangkang yang mahu kerajaan mengambil tindakan berkenaan isu tersebut sambil menambah ia juga tidak memerlukan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan.

Azam menjadi sasaran serangan dalam beberapa artikel oleh seorang aktivis yang mempunyai kaitan dengan NGO C4 Center, mendakwa wujud konflik kepentingan dalam pemilikan saham syarikat.

Sebagai respons, Azam turut menghantar surat tuntutan terhadap Lalitha Kunaratnam, penulis artikel tersebut selain satu laporan yang dibuat oleh SPRM terhadapnya, mengatakan dakwaan aktivis itu adalah palsu dan tidak mengemukakan sebarang bukti.

Sementara itu, pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) turut menggesa supaya Azam “direhatkan” dan mahu Zahar disiasat kerana mendapati ketua pesuruhjaya SPRM itu tidak mempunyai konflik kepentingan dalam isu pemilikan saham.