- Iklan -
Berita

Bekas pegawai SPRM beri amaran jangan ikut emosi ketika serangan terhadap Azam berterusan

Persatuan Bekas Pegawai-Pegawai SPRM turut menyifatkan serangan terhadap Azam Baki bukan sahaja sahaja mengabaikan prinsip undang-undang.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.

Bekas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengingatkan semua pihak untuk mematuhi prinsip undang-undang ketika serangan daripada ahli politik pembangkang disasarkan terhadap ketua pesuruhjaya badan itu.

Persatuan Bekas Pegawai-Pegawai SPRM turut menyifatkan serangan terhadap Azam Baki bukan sahaja sahaja mengabaikan prinsip “seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya” selain tohmahan terhadap beliau turut menyebabkan keyakinan masyarakat terhadap agensi pencegahan rasuah tersebut terjejas teruk.

“Persatuan ini berdiri teguh atas prinsip undang-undang bahawa seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya oleh proses undang-undang dan bukannya melalui perbicaraan awam atau perbicaraan media.

“Persatuan ini juga mempunyai keyakinan yang tinggi ke atas sistem keadilan jenayah negara ini serta proses perundangan yang menjadi maruah individu serta organisasi, sebagai mana yang termaktub dalam Perlembagaan.”

Azam menjadi sasaran serangan dalam beberapa artikel oleh seorang aktivis yang mempunyai kaitan dengan NGO C4 Center, mendakwa wujud konflik kepentingan dalam pemilikan saham syarikat.

Sebagai respons, Azam turut menghantar surat tuntutan terhadap Lalitha Kunaratnam, penulis artikel tersebut selain satu laporan yang dibuat oleh SPRM terhadapnya, mengatakan dakwaan aktivis itu adalah palsu dan tidak mengemukakan sebarang bukti.

Sementara itu, pemimpin utama Pakatan Harapan turut menggesa supaya Azam “direhatkan” dan mahu Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang disiasat kerana mendapati ketua pesuruhjaya itu tidak mempunyai konflik kepentingan dalam isu pemilikan saham tersebut.

Dalam kenyataan itu juga, Presiden Persatuan Bekas Pegawai SPRM Mazlan Mohamad berkata polis dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) perlu diberikan ruang untuk menangani tuduhan tersebut.

“Persatuan ini juga memohon agar semua pihak sama ada yang berkepentingan atau sebaliknya menyokong penuh terhadap proses undang-undang negara dan bukan atas faktor emosi.”