- Iklan -
Berita

Peminjam Mara terjejas banjir boleh mohon penjadualan semula pembayaran

Tawaran itu diberikan kepada mereka yang mengambil pinjaman pelajaran, perniagaan dan penyewa premis perniagaan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Banjir yang melanda negara telah menjejaskan puluhan ribu warga di lapan buah negeri. Selangor menjadi negeri yang paling teruk terjejas ekoran kepadatan penduduknya.
Banjir yang melanda negara telah menjejaskan puluhan ribu warga di lapan buah negeri. Selangor menjadi negeri yang paling teruk terjejas ekoran kepadatan penduduknya.

Usahawan dan peminjam pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang terjejas dengan insiden banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini boleh mengunjungi mana-mana pejabat agensi tersebut bagi proses penjadualan semula pembayaran.

Ketua Pengarahnya Azhar Abdul Manaf berkata perkara ini diberikan kepada mereka yang mengambil pinjaman pelajaran, pinjaman perniagaan serta yang mahu memohon pengecualian bayaran sewa premis perniagaan.

“Bagi mereka yang kita tak tahu tempat yang terkesan seperti peminjam pinjaman pelajaran Mara. Kita tidak tahu alamat dan sebagainya, mereka boleh mengemukakan permohonan pada pejabat Mara sama ada di peringkat negeri atau ibu pejabat.

“Tapi bagi mereka yang terjejas, yang kita tahu tempatnya pegawai kita sendiri akan pergi ke premis dan peminjam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program gotong-royong membersihkan rumah penduduk di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang hari ini.

Dalam pada itu, Azhar berkata kira-kira 1,000 sukarelawan di bawah komuniti Mara antaranya pelajar dan kakitangan agensi berkenaan, telah digerakkan bagi menolong dan membersihkan rumah mangsa banjir di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang sejak minggu lepas.

Beliau berkata antara bantuan yang dihulurkan ialah kerja pembersihan, perkhidmatan pendawaian rumah, pemeriksaan serta pembaikan perkakasan elektrik secara percuma bagi kerosakan kecil.

Jelasnya, pihaknya terlebih dahulu akan mendapatkan maklumat di sesebuah kawasan yang terlibat sebelum menghantar pelajar dan guru Institut Kemahiran Mara (IKM) dan GIATMara ke tempat yang memerlukan bantuan berkenaan.

“(Baiki barang elektrik) sudah ada kita ada buat di Padang Jawa, Shah Alam minggu lepas, juga di Taman Sri Nanding, Hulu Langat. Namun, kita baiki peralatan dengan kerosakan minimum sahaja,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung RTB Bukit Changgang Muhamad Shauji Hussin, 71, menzahirkan rasa gembira selepas sukarelawan pembersihan daripada Mara datang membersihkan rumahnya.

Muhamad Shauji berkata banjir pada yang berlaku pada malam 17 Disember itu hampir menenggelamkan rumahnya dan tidak dinafikan banyak kerosakan perabot dan perkakas elektrik akibat bencana itu.

“Alhamdulillah. Terima kasih sangat datang bantu. Mereka datang basuh habis rumah pak cik. Pak cik tak perlu buat apa. Pak cik kalau seorang memang tidak larat sebab doktor nasihat jangan buat kerja berat. Sekarang pun baru balik dari Institut Jantung Negara (IJN) ambil ubat,” katanya.