- Iklan -
Berita

RUU Akta 342 ditangguh ke sidang Parlimen akan datang

Keputusan itu diambil selepas perbincangan diadakan bersama perdana menteri dan ketua pembangkang.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan dibawa pada sesi sidang Dewan Rakyat akan datang, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menurut Khairy, keputusan itu diambil susulan mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Kesihatan, Sains dan Teknologi yang turut disertai perdana menteri pagi ini.

“Tadi saya berbincang dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi yang dipengerusikan Bandar Kuching (Kelvin Yii), selain disertai Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) dan ketua pembangkang (Anwar Ibrahim).

“Dalam RUU pindaan Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit), sangat penting untuk kita dapat penerimaan dan pematuhan rakyat kerana ia bukan sekadar langkah kesihatan awam yang diperlukan untuk tangani kes Covid-19 saja,” kata Khairy pada sidang tambahan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Khairy keputusan sebulat suara untuk menangguhkan pindaan Akta 342 itu bukan disebabkan tidak disokong pada dasar kerana sebahagian besar pindaan sudah dipersetujui, namun wujud beberapa butiran lagi yang perlu dipersetujui bersama.

Terdahulu, sidang tambahan Dewan Rakyat ditempohkan selama 15 minit oleh Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun, bagi memberi laluan kepada proses libat urus RUU pindaan Akta 342.

Susulan keputusan itu, Khairy berkata, bacaan kali kedua dan ketiga RUU pindaan Akta 342 akan dilakukan pada sidang Dewan Rakyat seterusnya.

Katanya, KKM memang berhasrat untuk membawa semula pindaan akta itu, namun ia memerlukan aspek pematuhan dalam kalangan rakyat yang hanya boleh dicapai menerusi kepercayaan dan kemampuan terhadap peruntukan terbabit.

“Saya setuju dengan cadangan Bandar Kuching (Kelvin Yii), dulu kita tidak terbitkan, mungkin itu kekhilafan, maka kita akan terbitkan garis panduan yang jelas.

“Kita akan terbitkan garis panduan, apa kesalahan, kompaun, nilai dan sebagainya supaya lebih jelas apabila dibuat pindaan serta mendapat sokongan bipartisan.

“Yang penting, pematuhan kerana untuk krisis kesihatan awam ia bukan hanya membabitkan tindakan punitif, tetapi kawalan kesihatan awam yang sangat penting.

“Justeru, saya akan bawa semula kepada jawatankuasa pilihan khas sebelum dikemukakan kepada majlis,” katanya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.