- Iklan -
Berita

Kompaun RM1,000 syarikat langgar SOP tidak berkesan, kata Hishammuddin

Menurut menteri pertahanan, denda maksimum dikenakan itu tidak memadai dengan kesalahan dilakukan oleh penganjur atau syarikat tertentu dalam mematuhi SOP.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kanan (Pertahanan) Hishammuddin Hussein. Gambar: Bernama
Menteri Kanan (Pertahanan) Hishammuddin Hussein. Gambar: Bernama

Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein berpandangan kompaun RM1,000 terhadap pihak yang melanggar prosedur operasi standard di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342, tidak berkesan.

Jelasnya denda maksimum dikenakan itu tidak memadai dengan kesalahan dilakukan oleh penganjur atau syarikat tertentu dalam mematuhi SOP yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

“Secara peribadi, dengan kelonggaran kita berikan dan kelonggaran yang akan diumumkan selepas ini, banyak syarikat diamanahkan dan dipertanggungjawab untuk patuhi SOP ditetapkan.

“Dalam konteks ekonomi, denda sedia ada dengan pulangan syarikat terlibat, jauh begitu tak berkesan atau sebagai usaha untuk menegah, kerana syarikat mendapat pulangan berbilion jadi setakat RM1,000 tidak memadai sebab itu ia harus dibentangkan semula ke Parlimen,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 di Parlimen hari ini.

Justeru Hishammuddin mengingatkan pihak penganjur dan syarikat yang mengadakan sebarang majlis agar menunaikan janji mereka untuk memastikan tiada pelanggaran SOP berlaku dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

“Inilah dia janji-janji pihak yang minta kebenaran nak anjur (majlis) tetapi tidak mampu mengawalnya…bila nakkan sesuatu diumumkan semua boleh (patuh SOP) tetapi akhirnya dari segi pemantauan dan penguatkuasaan ia tidak berjaya,” katanya.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali hari ini membentangkan Rang undang-undang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat bagi meminda Akta 342 yang membolehkan individu ingkar dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini.

Menurut naskhah biru, pindaan di bawah seksyen 25, Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 itu turut mencadangkan pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ditetapkan boleh dikompaun sehingga maksimum RM1 juta.