- Iklan -
Berita

JPM didenda RM1,000, kaunter ditutup selepas ramai bimbang pelanggaran SOP

Kaunter polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di KLCC diarahkan tutup serta- merta.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai beratur menunggu giliran untuk mendapatkan tawaran diskaun sehingga 80% bagi smaan trafik mereka.
Orang ramai beratur menunggu giliran untuk mendapatkan tawaran diskaun sehingga 80% bagi smaan trafik mereka.

Penganjur 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dikenakan kompaun RM1,000 kerana gagal patuhi SOP, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini susulan kebimbangan timbul berhubung kerumunan orang ramai beratur untuk mendapatkan diskaun hingga 80% bagi pembayaran saman trafik mereka.

Kaunter bayaran Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dibuka di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) juga turut diarahkan tutup serta-merta.

Menurut Khairy, kompaun itu dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (342).

“Situasi kesesakan, tiada penjarakan fizikal dan tiada kawalan jumlah pengunjung yang hadir memberi risiko berlakunya penularan jangkitan Covid-19.

“Sehubungan itu, kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342) bernilai RM1,000 telah dikeluarkan kepada pihak penganjur,” kata Khairy dalam kenyataan hari ini.

Acara karnival empat hari itu dianjurkan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ia dilancarkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam dan turut dihadiri beberapa orang menteri termasuk Khairy.

Pemeriksaan MalaysiaNow di beberapa lokasi mendapati tiada penjarakan fizikal dilakukan selain barisan orang ramai yang ingin melakukan pembayaran melimpah hingga ke jalan raya sejak awal pagi.

Walaupun ramai anggota kerajaan serta agensi penguat kuasa undang-undang diletakkan di lokasi terlibat, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dilihat masih diabaikan.

Di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), orang ramai dilihat sanggup menunggu selama beberapa jam di kaunter-kaunter bayaran bagi mendapatkan diskaun 80% bagi saman trafik yang diterima mereka.

Keadaan itu berlaku walaupun saman boleh diselesaikan menggunakan beberapa platform pembayaran secara dalam talian.

Namun ramai pengguna mengadu laman sesawang dalam talian lembab berikutan trafik pengguna yang tinggi ketika ini termasuk MyBayar yang merupakan platform rasmi polis

Berhubung kompaun yang dikenakan, Khairy berkata ia merupakan jumlah maksimum yang boleh dikenakan selepas Ordinan Darurat diungkaikan di Dewan Negara, pada 8 Disember lalu.

“Maklumat lanjut mengenai kaedah pembayaran saman dan tawaran diskaun akan dimaklumkan oleh pihak PDRM.

“KKM akan terus memantau perjalanan program ini dan tidak akan teragak-agak mengeluarkan lagi kompaun kepada pihak penganjur sekiranya gagal memastikan pematuhan SOP.

“Sebagai sebuah kerajaan, kita seharusnya menunjukkan teladan serta amalan terbaik kepada seluruh masyarakat. Kita mestilah berpegang kepada standard yang sama seperti yang telah dikenakan ke atas rakyat,” katanya.

Diskaun saman trafik sempena 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang menjadi slogan pentadbiran Ismail diumumkan Rabu lalu, tawaran itu bermula semalam dan berakhir pada 12 Disember.

Pemandu kenderaan di Kuala Lumpur dan Putrajaya boleh mendapat diskaun sehingga 80%, sementara bagi mereka yang tinggal di negeri lain akan menikmati diskaun sebanyak kurang 70%.

Bagaimanapun, tawaran diskaun itu tidak termasuk saman sementara hadir mahkamah, atau kesalahan-kesalahan besar lain, ia juga tidak ditawarkan bagi kesalahan kenderaan berat dan pengubahsuaian ekzos.