- Iklan -
Berita

Dr M dedah bagaimana beliau ‘sekat’ penasihat Guan Eng

Bekas perdana menteri itu jelaskan sepintas lalu bagaimana beliau menyekat seorang pemimpin DAP yang memberikan peluru kepada 'cybertroopers' Umno.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad mendedahkan seorang pemimpin kanan DAP yang disifatkan sebagai penasihat yang dipercayai bekas menteri kewangan Lim Guan Eng terlibat dalam urusan kerajaan tanpa kebenaran, mengatakan perkara itu menunjukkan bagaimana beberapa tindakan yang dilakukan dalam kerajaan memberikan peluru kepada Umno untuk mengeksploitasi isu perkauman terhadap parti yang didominasi kaum Cina tersebut.

Menulis dalam memoirnya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi di mana ia dilihat akan menjadi sebuah buku “yang menceritakan semuanya” tentang peristiwa sepanjang persaraannya selama 15 tahun sebelum kembali menduduki jawatan perdana menteri pada 2018, Mahathir berkata pemimpin DAP itu sering “diberikan tugas yang banyak” oleh Lim, sehingga mula merasakan boleh menggunakan kuasanya terhadap penjawat awam.

Beliau berkata individu itu turut mengambil bahagian dalam rundingan perniagaan membabitkan kerajaan walaupun tidak diberi kuasa untuk berbuat demikian.

“Ia bukan cara kerajaan berfungsi, dan saya hentikan semua perkara sebegini, namun tindak-tanduk begitulah yang membolehkan cybertrooper Umno memainkan isu rasa tidak selamat dalam kalangan kaum,” tulis Mahathir dalam “Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia”, buku setebal 304 muka surat yang merupakan memoir kedua beliau selepas “A Doctor in the House”.

Buku itu, yang dilihat sebagai percubaannya untuk “memberitahu semuanya” dan menjelaskan beberapa isu mengenai penggal pentadbiran pendek keduanya di Putrajaya, akan menemui pelanggan kedai buku utama di Malaysia dan Singapura akhir bulan ini dengan harga RM100 sebuah.

Walaupun Mahathir tidak menamakan individu tersebut, umum mengetahui seorang pemimpin kanan DAP yang juga wakil rakyat di Lembah Klang pernah menjadi orang kepercayaan Lim di kementerian kewangan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menceritakan satu insiden membabitkan penasihat Lim itu, Mahathir berkata individu itu mengugut seorang pemaju hartanah yang menghadapi masalah kewangan dalam projek usaha sama dengan kerajaan untuk membangunkan kompleks berbilion ringgit di Kuala Lumpur.

Dalam perjanjian yang dibuat semasa pentadbiran Najib Razak, kerajaan bersetuju untuk memberi pinjaman kepada pemaju dengan syarat-syarat tertentu, termasuk keseluruhan projek diserahkan kepada kerajaan jika ia tidak dapat disempurnakan mengikut jadual.

“Sekarang, penasihat DAP ini sebenarnya membuat ugutan walaupun pada hakikatnya berbilion sudah dibelanjakan, dan dia berbuat demikian tanpa merujuk atau mendapat sebarang kebenaran daripada kerajaan.

“Ada juga beberapa ketika penasihat ini bercakap secara terbuka bagi pihak kerajaan walaupun tidak mempunyai kebenaran untuk berbuat demikian,” tulis Mahathir.

Mahathir berkata ia adalah salah satu daripada banyak masalah yang dihadapi beliau sepanjang 22 bulan menerajui kerajaan PH.

Beliau berkata, sebarang cadangan menteri perlu dipersetujui secara bersama dalam Kabinet dan bukan oleh beliau sahaja.

“Sebahagian besarnya, Guan Eng selalu merujuk saya dan meminta persetujuan saya mengenai hampir semua inisiatifnya. Malah, dalam mesyuarat Kabinet, setiap kali dia mencadangkan sesuatu, dia akan menamatkannya dengan berkata ‘jika perdana menteri bersetuju’, ” tulis Mahathir, yang meletak jawatan pada Februari 2020 selepas gabungan PH tumbang berikutan perselisihan faham antara pemimpin parti komponen PH ekoran desakan penyokong PKR yang mendesak Mahathir diganti dengan presiden PKR Anwar Ibrahim.