- Iklan -
Berita

Kes jenayah catat penurunan 21.4% pada 2020

Jenayah kekerasan dan jenayah harta benda dengan jenayah kekerasan merekodkan penurunan 19.5%.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Penurunan kes jenayah pada 2020 adalah disebabkan sekatan aktiviti sosial dan rentas sempadan daerah dan negeri berikutan PKP yang telah membataskan pergerakan individu.
Penurunan kes jenayah pada 2020 adalah disebabkan sekatan aktiviti sosial dan rentas sempadan daerah dan negeri berikutan PKP yang telah membataskan pergerakan individu.

Kes jenayah tahun lepas menurun 21.4% kepada 65,623 berbanding 83,456 pada 2019, antaranya disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata kes terbabit terdiri daripada jenayah kekerasan dan jenayah harta benda dengan jenayah kekerasan merekodkan penurunan 19.5% kepada 13,279 kes pada 2020 dan jenayah harta benda pula menurun 21.8% kepada 52,344 kes bagi tempoh yang sama.

“Antara punca penurunan kes jenayah adalah disebabkan sekatan aktiviti sosial dan rentas sempadan daerah dan negeri berikutan PKP yang telah membataskan pergerakan individu,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Uzir berkata aktiviti penguatkuasaan yang lebih ketat oleh pihak berkuasa dan kesedaran masyarakat dalam mempertingkat perlindungan daripada ancaman jenayah turut menyumbang kepada penurunan kes.

Beliau berkata berdasarkan rekod kes jenayah kekerasan mengikut daerah pentadbiran, didapati Seremban di Negeri Sembilan mencatat peratusan penurunan tertinggi tahun lepas iaitu 40.6% kepada 326 kes berbanding 549 pada 2019.

Ia diikuti Johor Bahru (-36.7%) dan Melaka Tengah (-26.3%) manakala untuk jenayah harta benda, Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang mencatat penurunan tertinggi sebanyak 35.8% kepada 982 kes tahun lepas berbanding 1,529 pada 2019.

Uzir berkata sebaliknya, bilangan aduan kes jenayah siber yang diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tahun lepas meningkat 99.5% kepada 20,805 berbanding 10,426 pada 2019.

“Antara aduan yang diterima adalah elemen lucah, palsu, jelik, sumbang dan mengancam,” katanya.

Beliau berkata kesemua elemen aduan menyaksikan peningkatan dengan yang tertinggi ialah elemen palsu iaitu sebanyak 117.6% pada 2020.

Katanya sebanyak 6,637 aduan direkodkan tahun lepas untuk elemen palsu berbanding 3,050 pada 2019.

Jabatan Perangkaan Malaysia semalam menerbitkan Statistik Jenayah, Malaysia, 2021 yang memuatkan lapan statistik jenayah terpilih iaitu jenayah indeks, dadah, rasuah, alam sekitar, kesalahan trafik, jenayah siber, jenayah maritim dan pemulihan.