- Iklan -
Berita

48 lagi korban Covid, jumlah keseluruhan cecah 30,195

Daripada jumlah itu, 10 atau 20.8% adalah kes kematian sebelum tiba di hospital.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan dan pengurusan pengebumian jenazah mengebumikan pesakit Covid-19 dengan mengikut SOP kesihatan pemakaian PPE lengkap. Gambar: Bernama
Petugas kesihatan dan pengurusan pengebumian jenazah mengebumikan pesakit Covid-19 dengan mengikut SOP kesihatan pemakaian PPE lengkap. Gambar: Bernama

Sebanyak 48 lagi kematian akibat Covid-19 dilaporkan pada 25 November, menjadikan jumlah keseluruhan korban di seluruh negara sebanyak 30,195.

Menurut data Github kementerian kesihatan, 10 atau 20.8% daripada kes dicatat semalam merupakan kematian sebelum tiba ke hospital (BID).

Terengganu dan Kelantan mencatatkan jumlah kematian tertinggi sebanyak lapan kes atau 16.7%.

Ia diikuti Sarawak dan Perak yang masing-masing mencatat enam kematian atau 12.5%.

Selangor melaporkan lima kematian, empat kes di Sabah, dan tiga kes di Pahang.

Sementara itu, Pulau Pinang dan Kedah masing-masing mencatatkan dua kes.

Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur pula merekodkan satu kes kematian masing-masing, manakala Putrajaya, Labuan dan Perlis tidak mencatatkan sebarang kes kematian.

Menurut laman sesawang CovidNow, negeri yang mencatat kes kematian tertinggi sejak dua minggu lalu berlaku di Terengganu, Kelantan dan Sarawak.

Semalam, Melaka merekodkan kadar penggunaan katil hospital paling tinggi bagi pesakit Covid-19 dengan 104.6% penggunaan.

Sebanyak 6,144 kes baru dilaporkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 2,608,979.

Setakat semalam, terdapat 68,755 kes aktif Covid-19 dilaporkan sementara 6,602 pesakit pulih.