- Iklan -
Berita

Teng mohon maaf pada Guan Eng, kes saman fitnah selesai

Teng Chang Yeow membacakan kenyataan maaf itu di hadapan hakim Abd Majid Hamzah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Gambar: Bernama
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Gambar: Bernama

Kes saman fitnah bekas ketua menteri Lim Guan Eng terhadap bekas pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang Teng Chang Yeow berhubung artikel mengenai Pulau Jerejak selesai selepas Teng memohon maaf kepada Lim di Mahkamah Tinggi hari ini.

Teng membacakan kenyataan maaf itu di hadapan hakim Abd Majid Hamzah.

“Saya dengan ini memohon maaf tanpa syarat kepada Lim Guan Eng dan menarik balik kenyataan yang saya buat dalam sidang media pada 15 November 2016, yang kemudiannya diterbitkan pada 16 November 2016 dalam The Star dengan kapsyen Pulau Jerejak land sale questioned (Penjualan Tanah Pulau Jerejak Dipersoalkan); dalam The Star Online dengan kapsyen, Pulau Jerejak land sale questioned; Guan Ming Daily dengan kapsyen, Kes menjual tanah Pulau Jerejak; dan Sin Chew Daily dengan kapsyen, Hilang 80 juta keuntungan potensi.

“Saya kesal dengan kesusahan dan kesulitan yang dialami Lim Guan Eng akibat penerbitan perkara di atas,” katanya.

Pada hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pengurusan kes namun kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikannya melalui penghakiman persetujuan.

Lim hadir di mahkamah dan diwakili peguam N. Mureli manakala Teng diwakili peguam Kek Boon Wei.

Hakim Abd Majid kemudian merekodkan penghakiman persetujuan kes itu.

Di luar mahkamah, Mureli memaklumkan Teng selaku defendan akan membayar kos sebanyak RM75,000 (untuk kos Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan) kepada Lim selaku plaintif.

Pada April 2017, Lim memfailkan saman menamakan Teng, yang juga bekas pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Pengarang Berita Star Media Group Berhad David Tan dan wartawan Crystal Chiam Shiying selaku defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Lim mendakwa Teng telah memberi, membenarkan dan/atau menyebabkan kenyataan fitnah dan palsu itu ditulis dan disiarkan di akhbar dan laman web melalui defendan lain.

Beliau mendakwa defendan telah berniat jahat menerbitkan kenyataan berunsur fitnah dan palsu dalam artikel bertajuk “Pulau Jerejak land sale questioned” (Penjualan tanah Pulau Jerejak dipersoalkan) bertarikh 16 November 2016, yang merujuk kepada plaintif (Lim).

Tindakan undang-undang Lim terhadap defendan lain telah diselesaikan.