- Iklan -
Berita

Pemimpin Pemuda PKR selar gesaan Adun DAP supaya Anwar berundur selepas kalah PRN Melaka

Thiban Subramaniam berkata adalah tidak munasabah untuk meletakkan punca kekalahan PH kepada Anwar sahaja.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim bercakap kepada media ketika sidang media Pelan Tindakan PH di Hotel LaCrista, Melaka.
Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim bercakap kepada media ketika sidang media Pelan Tindakan PH di Hotel LaCrista, Melaka.

Pemuda PKR hari ini mengecam seorang Adun DAP yang menggesa presidennya Anwar Ibrahim berundur sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH) berikutan kekalahan gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, mengatakan tidak adil untuk beliau sahaja yang dipersalahkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bilut Lee Chin Chen berkata dalam sebuah hantaran Facebook berkata PH harus memilih pemimpin baru untuk mengetuai gabungan itu, sambil menambah bahawa ia harus meneroka pilihan lain dan mencapai konsensus baru.

Dalam catatan yang kemudiannya dipadam, beliau berkata jika tiada harapan untuk “menetapkan semula” PH, pucuk pimpinan DAP perlu mempertimbangkan untuk meninggalkan gabungan itu dan membentuk kerjasama dengan pihak lain.

Naib Ketua Pemuda PKR Thiban Subramaniam berkata tidak wajar untuk sesiapa menuding jari terhadap Anwar, kerana banyak faktor lain menjadi punca kekalahan PH di Melaka.

“Pimpinan PH termasuk Anwar sedia menerima segala kritikan dan pandangan. Namun ianya sangat tidak adil jika Anwar sahaja dipersalahkan atas atas kekalahan PH,” katanya.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata Lee sepatutnya memberi ruang dan masa untuk kepimpinan PH melakukan bedah siasat bagi menentukan faktor-faktor yang membawa kepada kekalahan gabungan itu dalam PRN Melaka yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kembali memegang tampuk kerajaan negeri.

“Lee harus sedar bahawa setiap keputusan berkenaan PRN Melaka dibuat secara konsensus menerusi mesyuara Majlis Presiden PH,” katanya.

“Ia bukan keputusan Anwar seorang sahaja. Malah, beberapa perkara yang tidak dipersetujui Anwar terpaksa diterima atas desakan rakan DAP dan Amanah walaupun bercanggah dengan kehendak rakyat.”

Beliau turut mempersoalkan sama ada Lee turut menggesa pemimpin DAP dan Amanah Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu untuk berundur selain mencabar untuk mengemukakan nama mana-mana individu yang mampu menggantikan Anwar sebagai ketua pembangkang.

Beliau juga berkata kenyataan Lee turut menunjukkan semangat setiakawan dalam PH semakin pudar.

“Kalah satu PRN terus ugut keluar PH ini seolah-olah memang wujud perancangan untuk menubuhkan satu pakatan baru tanpa PKR.

“Jika itu yang dimahukan pimpinan DAP mahu, mereka boleh keluarkan PKR dari PH,” tambahnya.

Beliau turut berkata PKR bertanding di kerusi majoriti Melayu di pedalaman dan bukannya kerusi “selesa” untuk menang dan menambah tiada seorang pun daripada parti itu boleh menyalahkan mana-mana parti komponen lain berhubung kekalahan tersebut.

BN kembali membentuk kerajaan negeri di Melaka selepas memenangi 21 dari 28 kerusi yang ditandinginya.

PH pula memenangi lima kerusi dan dua kerusi dimenangi Perikatan Nasional.

PKR tewas di kesemua 11 kerusi yang ditandinginya.