- Iklan -
Berita

Ahli PAS taat kepada keputusan bersama PN, kata ketua ulama

Menurut Nik Zawawi, mereka yang dilaporkan sebagai ahli PAS yang tidak berpuas hati dengan keputusan parti mungkin hanya lakonan orang luar.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Dua penduduk kampung memasang bendera Perikatan Nasional sempena PRN Melaka di Pengkalan Balak, Tanjung Bidara.
Dua penduduk kampung memasang bendera Perikatan Nasional sempena PRN Melaka di Pengkalan Balak, Tanjung Bidara.

Akar umbi PAS akan kekal menyokong keputusan parti itu untuk bersama Perikatan Nasional (PN) berbanding Muafakat Nasional (MN) dalam mengharungi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini, kata Ketua Dewan Ulama Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Beliau berkata, ini kerana akar umbi PAS dididik dengan sikap taat dan setia yang merupakan sikap semula jadi ahli parti Islam itu.

“Hal ini diputuskan oleh Majlis Syura Ulama dan diselaras ahli jawatankuasa PAS pusat. Ahli-ahli PAS seluruh negara berpuas hati.

“Sifat semula jadi ahli PAS akur dengan keputusan Majlis Syura,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow semalam.

Beliau menngulas laporan media yang menyatakan ketidakpuasan hati beberapa individu yang dikatakan ahli PAS Melaka berhubung keputusan parti untuk tidak bersama Umno menerusi MN.

Justeru, Nik Zawawi berkata, tiada kebarangkalian undi protes oleh akar umbi yang bakal disaksikan di Melaka.

Beliau yang juga timbalan menteri pertanian dan industri makanan berkata, mereka yang dilaporkan sebagai ahli PAS yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mungkin hanya lakonan oleh orang luar.

“Tidak ada (undi protes). Itu memang sahih, kecuali orang yang berlakon,” katanya.

Baru-baru ini stesen televisyen milik seorang pemimpin Umno melaporkan beberapa ahli PAS tidak setuju dengan keputusan parti itu untuk bertanding di bawah PN.

Menurut laporan yang disiarkan pada waktu perdana itu, ahli-ahli parti Islam itu marah kerana bertembung dengan Umno yang juga rakan PAS dalam MN.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad sebelum ini menyifatkan pertembungan parti itu dengan Umno pada PRN Melaka sebagai “perlawanan persahabatan”.

Manakala Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dalam satu bual bicara menyatakan parti itu menghulur tangan kepada PAS untuk bersama-sama dalam PRN Melaka namun tidak disambut.

Menurut beliau, Barisan Nasional (BN) menawarkan beberapa kerusi kepada PAS dalam PRN Melaka.

Seramai 495,196 pengundi berdaftar di Melaka akan menentukan kerajaan negeri seterusnya selepas kerajaan gabungan BN dan PN tumbang selepas empat orang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan mereka terhadap bekas ketua menteri, Sulaiman Md Ali.

Daripada jumlah itu,  10,390 orang pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis mengundi semalam.

Nik Zawawi berkata, pengundi Melaka diharap lebih rasional dengan memilih kepimpinan dengan agenda penyatuan ummah.

“Kalau kita berjaya atas nama penyatuan ummah, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) penyatuan ummah ini akan jadi lebih kuat lagi,” katanya.

Katanya, PAS komited untuk bersama PN namun akan melihat semula kedudukan parti itu selepas PRN Melaka.

Penganalisis politik menyatakan Melaka menjadi medan uji kaji semua blok politik yang bertanding bagi melihat hayunan (swing) undi terutama pengundi Melayu.

Keputusan PRN Melaka dijangka memberi gambaran kepada keputusan PRU15 kelak.

Pemerhati politik juga sebelum ini menyatakan bahawa MN berkemungkinan berkubur selepas PRN Melaka.

Untuk rekod, PAS tidak memenangi sebarang kerusi DUN atau Parlimen di Melaka pada PRU14 lepas.