- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen DAP mohon maaf selepas muat naik ‘Lahabau Melaka’ di Facebook

Gambar itu dipadam sebelum beliau memuat naik permohonan maaf sambil menjelaskan ia adalah kesilapan bahasa.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Kulai dari DAP Teo Nie Ching. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Kulai dari DAP Teo Nie Ching. Gambar: Bernama

Wakil rakyat DAP, Teo Nie Ching hari ini memohon maaf selepas memuat naik gambar Facebook memaparkan perkataan kesat “Lahabau Melaka, Jom Undi” dalam usahanya merayu pengundi pulang untuk mengundi di PRN Melaka

Muat naik gambar itu mengundang padah dan mendapat kecaman pengguna media sosial kerana menggunakan perkataan “lahabau” yang merupakan perkataan dialek Melaka.

Berdasarkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) lahabau merupakan kata makian yang bermaksud tidak berguna atau tidak boleh diharap.

Difahamkan, hantaran gambar profil ahli Parlimen Kulai itu dimuat naik secara tidak sengaja tanpa memahami maksud disebalik perkataan tersebut.

Gambar tersebut kemudiannya telah dipadam sebelum beliau memuat naik permohonan maaf sambil menjelaskan ia adalah kesilapan bahasa.

“Saya cuma ingin berkempen melalui ‘frame’ percuma yang boleh didapati di dalam Facebook tanpa memahami maksud sebenar perkataan tersebut.

“Dengan ini, saya dengan penuh rendah hati, memohon maaf atas kekhilafan menyiapkan dan memuatnaikkan bahan kempen yang telah tersalah menggunakan bahasa,” katanya dan menambah permohonan maaf itu ditujukan kepada semua terutama rakyat dan pengundi Melaka.

Walaupun beliau sudah memadam gambar tersebut, ia tersebar dalam kalangan pengguna media sosial menjadikannya viral.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada sidang media penamaan calon pagi tadi mengumumkan bahawa calon dan parti politik tidak dibenarkan menjalankan aktiviti berkempen secara bersemuka termasuk ceramah dan menziarahi rumah pengundi.

Sebaliknya, mereka digalakkan berkempen menggunakan media sosial atau melalui kenderaan yang dipasang alat pembesar suara.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.