- Iklan -
Berita

Kematian TKM kehilangan besar buat Sarawak, kata Abang Johari

Beliau berkata timbalannya, James Jemut Masing sentiasa memikirkan kepentingan rakyat.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar: Bernama
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar: Bernama

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg hari ini menyifatkan kematian timbalannya, James Jemut Masing sebagai kehilangan besar bagi negeri itu.

Bercakap di Lawas, beliau berkata Masing adalah pemimpin yang sentiasa memikirkan kepentingan rakyat.

“Saya rasa amat sedih. Saya secara peribadi mengucapkan takziah kepada keluarga Tan Sri.

“Beliau adalah seorang rakan dalam kerajaan yang banyak memberikan sumbangan dalam kita menguruskan negeri, lebih-lebih lagi beberapa idea beliau semenjak menjadi ahli Kabinet di bawah Taib Mahmud, arwah Adenan Satim dan saya,” katanya.

Abang Johari berkata kali terakhir beliau bertemu Masing adalah dalam sebuah mesyuarat, sambil menambah timbalannya itu tidak dapat menghadiri mesyuarat bagi kali kedua ekoran keadaan kesihatannya.

“Kami tunda mseyuarat itu sampai kita dengar berita pagi tadi,” katanya.

“Rasa kehilangam yang besar sabagai seorang rakan dan sebagai ahli Kabinet yang banyak beri sumbangan lebih-lebih lagi kepada masyarakat bandar dan luar bandar dan kaum Dayak.”

Masing merupakan presiden Parti Rakyat Sarawak meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak.

Beliau menyertai Kabinet negeri dan berkhidmat sebagai menteri pelancongan pada 1996.

Beliau kemudian memegang tiga lagi portfolio dan mempertahankan DUN Baleh bagi lapan penggal berturut-turut sebelum dilantik sebagai timbalan ketua menteri pada 23 Januari 2017.