- Iklan -
Berita

Malaysia beri keutamaan bangunkan, perkukuh semula kedudukan ekonomi, kata menteri

Mustapa berkata cabaran dihadapi negara sejak 18 bulan lalu turut beri peluang kepada kerajaan untuk mengkaji semula dasar dan strateginya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed. Gambar: Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed. Gambar: Bernama

Malaysia meletakkan keutamaan untuk membangunkan kembali ekonominya selain menempatkan negara pada kedudukan yang lebih kukuh dengan ekonomi yang lebih kompetitif, kata menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.

Beliau berkata cabaran yang dihadapi negara sejak 18 bulan lepas turut memberikan peluang kepada kerajaan untuk mengkaji semula dasar dan strateginya.

Mustapa seterusnya menyenaraikan beberapa keutamaan kerajaan dalam tempoh 10 tahun akan datang termasuk meningkatkan pendapatan, menghapuskan kemiskinan mutlak dan mengurangkan jurang pembangunan antara negeri dan wilayah serta memastikan pertumbuhan berkualiti yang mampan — iaitu pertumbuhan tanpa menjejaskan persekitaran.

“Keutamaan lain adalah mewujudkan persekitaran dasar yang kondusif untuk sektor swasta, pelabur tempatan dan asing; pertumbuhan dan pembangunan yang inklusif serta menghasilkan lebih banyak perpaduan dan penyatuan dalam konteks Keluarga Malaysia; dan memastikan bahawa mekanisme penyampaian kerajaan ditingkatkan untuk memenuhi matlamat pembangunan kita,” katanya dalam ucaptama di webinar bertajuk “Rancangan Malaysia Ke-12: Membangunkan Negara dalam Semangat Keluarga Malaysia” hari ini.

Mustapa berkata Unit Perancang Ekonomi telah melibatkan diri secara aktif dengan pelbagai pihak berkepentingan dari seawal April 2019 dalam menyiapkan RMK-12, yang akan dibentangkan pada 27 September ini.

“Seperti rancangan lima tahun sebelumnya, RMK-12 akan memberikan trajektori menyeluruh agenda pembangunan kerajaan. Ia menyediakan petunjuk arah kepada agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, pelabur dan masyarakat secara umum mengenai keseluruhan hala tuju kerajaan Malaysia,” jelasnya.

Mustapa berkata kerajaan kekal komited untuk memastikan dasarnya sentiasa mengambil kira keperluan memulihara kekayaan kepelbagaian bio negara demi kepentingan generasi akan datang.