- Iklan -
Berita

11 lagi lokaliti di Sabah dikenakan PKPD mulai esok

Satu lokaliti di Pahang turut dikenakan PKPD mulai esok.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan menjalankan pengesanan kontak rapat di kawasan PKPD di sekitar Petaling Jaya pada awal bulan Jun lalu.
Petugas kesihatan menjalankan pengesanan kontak rapat di kawasan PKPD di sekitar Petaling Jaya pada awal bulan Jun lalu.

Sebanyak 11 lagi lokaliti di Sabah dan satu di Pahang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), berkuat kuasa Khamis ini sehingga 25 Ogos.

Menteri Kanan Luar Negeri (kluster Keselamatan) Hishammuddin Hussein berkata, di Sabah ia termasuk tiga lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Kuarters Kilang J & L, Jalan Kokol; Kampung Gudon, Manggatal dan Kampung Lobou.

Lokaliti lain adalah Kampung Menunggui, Kota Belud; Kampung Tengah, Kinarut, Papar; Kampung Petagas, Putatan; Kampung Pogunon, Penampang; Kampung Timbua-Kembiroi-Lobou Baru, Ranau; Kampung Batu 1 Sipitang; Kampung Bukit Kukusan, Tawau dan Kampung Batu-Batu, Tenom.

Di Pahang pula melibatkan Felda Jengka 25 di Temerloh.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” menurutnya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) semalam.

Beliau juga berkata PKPD di enam lokaliti di Kota Kinabalu, Sabah yang dijadualkan tamat esok akan dilanjutkan sehingga 25 Ogos, iaitu di Bandar Sierra, Kampung Kalasanan, Kampung Pulau Penampang, Bandaran Segama, Taman Bukit Setia dan Taman Putera Jaya.

Begitu juga, katanya bagi PKPD di Felda Jengka 7, Maran, Pahang dan Ladang Kerilla, Tanah Merah, Kelantan, yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan sehingga tempoh yang sama.

Hishammuddin berkata PKPD di dua lokaliti di Johor iaitu Kampung Pertanian & Kampung Separa, Mukim Senai, Kulai dan Asrama Pekerja Tapak Bina Taman Bukit Perdana, Kluang serta 21 lagi lokaliti di Sabah pula, diputuskan untuk ditamatkan hari ini.

Menurutnya di Sabah, melibatkan lima lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Kampung Unggun, Lorong Cina 1, 2 & 3, Kampung Tebobon, Plaza Kingfisher dan Polytechnic Commercial Centre, serta empat lokaliti di Beaufort iaitu Kampung Lumadan, Kampung Kebulu Petani, Kampung Beaufort Selatan dan Taman Arjuna.

Selain itu lapan lokaliti di Penampang iaitu Country Height Fasa 1, 2 & 3 termasuk bangunan kedai, Cyber City Fasa 1, Kampung Nabangkung, Kampung Ramayah, Taman Vista Kiranau, Kampung Sarapung Kolopis, Vista Minitod dan Kampung Tuunon.

Ia juga melibatkan tiga lokaliti di Tawau, iaitu Kampung Blok 31, Kampung Tanjung Batu Darat dan Kampung Darat Inderasabah, serta satu lokaliti di Kinabatangan iaitu Perumahan Ladang Tinabau.

Dalam perkembangan sama, Hishammuddin berkata susulan pemeriksaan Pasukan Task Force Operasi Pematuhan semalam, sebanyak 60 premis sektor perkilangan dan premis perniagaan diarahkan tutup serta merta, manakala 180 individu dikompaun dan 21 lagi direman kerana kegagalan mematuhi SOP.

Menerusi Op Benteng pula, menurutnya 12 orang pendatang tanpa izin telah ditahan.

Beliau turut memaklumkan bahawa semalam, seramai 557 individu tiba melalui semua pintu masuk antarabangsa dan setakat ini seramai 10,077 individu yang tiba dari luar negara masih menjalani kuarantin wajib, yang dilaksanakan di 83 hotel dan 11 Institut Latihan Awam serta institut pengajian swasta seluruh negara.